Azmey Mat Nasir
Azmey Mat Nasir
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemilik Real XPDC, Azmey Mat Nasir tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik kemelut membabitkan penggunaan nama miliknya oleh sebuah kumpulan rock.

Azmey yang menghubungi Harian Metro mendakwa, syarikat Real XPDC diwujudkan olehnya bersama Allahyarham Mael pada 30 April 1998 sebagai kelangsungan karier Mael selepas berundur dari XPDC dan Life Records.

"Hanya nama kami berdua didaftarkan dalam syarikat itu. Masa itu kami dapat tandatangan kontrak dengan label rakaman EMI Music dan saya yang uruskan semua dari mula sampai akhir.

"Saya keluarkan album Real X dan selepas itu uruskan album solo Mael. Selepas itu EMI menutup operasi mereka walaupun sepatutnya ada lagi album dengan mereka. Kiranya kontrak kami pun tamat.

"Selepas itu, Bro Yazid (Yazid Selamat) jumpa saya untuk minta arwah Mael bergabung semula dengan XPDC. Mereka kemudian terbitkan album Rasopariso (2009).

"Sedangkan Yazid pun minta izin pada saya untuk ambil Mael, apalagi orang yang tiada kena mengena tiba-tiba gunakan nama milik saya tanpa izin," katanya.

Menurutnya tindakan pengurus kumpulan terbabit menggunakan nama itu sangat dikesali dan amat mengecewakan.

"Arwah Mael dah tiada. Tapi bila orang guna nama itu tanpa minta izin pemilik sangat melampau. Saya masih hidup lagi. Syarikat itu milik bersama.

"Saya terasa mereka gunakan nama semata-mata nak mengelirukan orang. Macam mereka yang wujudkan Real XPDC. Memang arwah Mael tiada idea pun nak letak nama Real XPDC.

"Tapi kawan-kawan sekeliling minta arwah letak nama Real kerana yang itu pada arwah manakala XPDC orang kenal melalui Mael. Life Records tak benarkan kami guna XPDC dan jadilah Real X," katanya.

Menurutnya Mael pernah meminta pengurus Real XPDC sekarang, menguruskannya pada awal kariernya pada 1997, tetapi selepas satu persembahan di Sri Muda, Shah Alam, individu itu menghilangkan diri.

"Sejak itu Mael jumpa saya minta bantu dia. Dari itu dia minta tubuhkan satu syarikat dan terhasil nama ini. Jika mereka rasa mereka bukan XPDC tetapi adalah Real XPDC seperti yang didakwa, mereka perlu tampil memberikan dokumen dan bukti.

"Ia perlu untuk membolehkan ia dihalalkan dan tidak menyalahi undang-undang mahupun hak cipta sesiapa. Saya langsung tak dihubungi oleh individu itu. Malah Facebook saya pun dia sekat.

"Kalau nak cari saya senang sahaja kerana nombor saya pun dia ada. Saya bukan tak boleh dibawa berbincang. Nampak sangat dia hanya nak tumpang nama XPDC sedangkan itu bukan haknya," katanya.

Azmey berkata, dia sebenarnya mempunyai perancangan sendiri untuk mewujudkan semula kumpulan Real X sebagai tribute untuk Mael.

"Ramai yang minta, jadi saya akan keluarkan semula. Saya dah ada pemuzik yang sesuai," katanya.

Terdahulu, Bro Yazid yang mewakili XPDC Kita Peng Yu dan Ali pula XPDC Militia mempersoalkan penggunaan nama XPDC oleh sebuah kumpulan lain tanpa kebenaran Life Records sehingga mengganggu periuk nasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 3:11 PM