Ary ketika menjayakan persembahan bersama XPDC.
Ary ketika menjayakan persembahan bersama XPDC.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Ary Fahrenheit dimuktamadkan sebagai penyanyi utama XPDC Kita Peng Yu bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Mael.

Perkara ini dimaklumkan oleh pengurus XPDC, Bro Yazid menerusi Facebooknya hari ini. 

"Salam sahabat semua. Atas persepakatan bandboy semua, Ary mula dinobatkan sebagai penyanyi kumpulan XPDC Kita Peng Yu mulai 4 Jun 2023 semasa membuat persembahan di Baling, Kedah malam tadi.

"Terima kaseh Zan yang sudi membantu dua persembahan XPDC sebelum ini di Sungai Petani dan MAEPS Serdang. Doakan dipermudahkan urusan," tulisnya. 

Yazid yang dihubungi berkata, Ary dipilih kerana mempunyai ciri-ciri yang diinginkan mereka.

"Dia seorang yang humble dan biasa saja sama macam anggota XPDC lain iaitu Amy, Zua dan Jeff. Ary pun 'sporting' dan tak berkira. Selain itu dia pun dah lama kenal mereka. Jadi tiada masalah dari segi persefahaman dan pergaulan. 

"Dia boleh bergurau dan tiada apa-apa masalah terhadapnya. Jadi kami pun tak perlu bagi dia syarat-syarat yang ketat. Kita simple saja. Yang penting tanggungjawab dia sebagai pengganti kepada arwah Mael. Kami harapkan dia bagi komitmen yang tinggi. 

"Kami juga harap dia cuba bagi sebaik mungkin seperti legasi yang ditinggalkan arwah Mael. Kami nak XPDC berada dipuncak kejayaan seperti yang diperlihatkan oleh arwah Mael. Insya-Allah dia akan bawa dan perbaiki mutu persembahan dari masa ke semasa," katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, XPDC akan lebih berjaya dengan muafakat dan kerjasama untuk kemajuan XPDC menerusi sesi latihan. 

"Kami akan dapat lebih keserasian. Lagu-lagu pula akan diperbaiki dengan memainkan lagu yang lama sebelum ini yang tak pernah dimainkan sehingga yang terbaru. Gaya, mutu persembahan dan kawalan suara serta kawalan pentas Ary nampak meyakinkan.

"Cuma kami kena bagi masa sikit lagi sehingga Ary betul-betul sesuai. Tempoh persembahan juga akan dinaikkan kepada satu jam setengah kepada satu jam 45 minit mengikut situasi. Mudah-mudahan peminat dan penganjur terima," katanya. 

Terdahulu, Ary dan Zan DekNey digandingkan sepentas ketika XPDC menjayakan Konsert Tribute To 'Legend' Mael XPDC di Amanjaya Sungai Petani pada 5 Mei dan keesokannya 6 Mei di MAEPS, Serdang. 

Yazid ketika itu berkata, prestasi kedua-dua mereka masih dinilai setakat ini dan akan diputuskan selepas mengambil kira semua faktor.

Mereka akhirnya mengambil kata putus memilih Ary sebagai vokalis XPDC ketika membuat persembahan di Baling, Kedah malam tadi.

"XPDC berterima kasih kepada Zan yang sebelum ini ada bersama dalam dua show bersama Ary membantu kami," kata Yazid.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 6:35 PM