ALI XPDC ketika ditemubual pada Majlis Kesadaran Makan Amal 2024 di Dewan MBSA Convention Centre. FOTO Genes Gulitah
ALI XPDC ketika ditemubual pada Majlis Kesadaran Makan Amal 2024 di Dewan MBSA Convention Centre. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman

Shah Alam: Penyanyi kumpulan XPDC Militia, Ali bersetuju dengan kenyataan Pengurus XPDC Kita Peng Yu iaitu Bro Yazid bahawa hak nama XPDC secara sah hanya boleh digunakan oleh mereka.

Menurutnya, perkara ini sudah dijelaskan oleh Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin menerusi satu kenyataan malah semua pihak perlu menghormatinya.

"Kami dah lama sedar kewujudan satu lagi kumpulan yang turut dikaitkan dengan XPDC. Mereka 'sailang' (potong jalan) banyak rezeki kami. Tak tahulah nak cakap apa lagi.

"Nak kata rezeki masing-masing memanglah tapi cara mereka salah. Kenalah ikut undang-undang kalau Life Records tetapkan begitu, itulah keputusannya.

"Mereka memang merosakkan pasaran kami kerana letakkan harga murah. Malah difahamkan mereka siap nak bayar penganjur sebab nak beraksi atas pentas semata-mata nak naikkan nama," katanya ditemui semasa terbabit menjayakan Majlis Makan Malam Kesadaran Amal di MBSA Convention Centre, Shah Alam, di sini malam tadi.

Persembahan terbabit turut menampilkan Datuk Awie, Ijam Medicine, Ady Wow, Anjang Terra Rossa serta Faizal Ismail dan Mawi sebagai pengacara.

Ali yang menyertai XPDC menerusi album Samurai pada 1998 berkata, kumpulan terbabit juga tidak menampilkan seorang pun anggota XPDC dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan nama XPDC.

"Sekurang-kurang hormatilah keputusan Life Records dan saya serahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Apapun ia memang mengganggu perjalanan kumpulan kami. Mereka tawarkan show percuma, habis bagaimana kami nak bekerja? Saya berharap mereka berhenti menggunakan nama XPDC.

"Perkara ini sepatutnya disuarakan oleh Izo (pemain gitar utama XPDC Militia), tapi setakat ini dia belum bersuara. Semoga perkara ini dapat diselesaikan secara harmoni," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan keluhan Bro Yazid yang kurang selesa apabila nama XPDC digunakan oleh pihak lain yang tidak berkaitan.

Dia turut memaklumkan sudah melaporkan kepada syarikat rakaman Life Records dan sedang menunggu keputusan lanjut mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 1:36 PM