RAMAI peminat setia Zerobaseone masih mempertahankan Jiwoong.
RAMAI peminat setia Zerobaseone masih mempertahankan Jiwoong.
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Anggota Zerobaseone, Kim Ji Woong atau Jiwoong berdepan kontroversi apabila menyebut perkataan berbentuk carutan iaitu 'ssibal' atau celaka di akhir panggilan video bersama peminat, baru-baru ini.

Sejurus rakaman itu tular, agensinya, Wakeone Entertainment mengeluarkan kenyataan mendakwa tuduhan itu palsu. Agensi berkenaan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Hal itu mencetuskan kekecewaan serta kemarahan segelintir peminat sehingga memprotes di hadapan bangunan agensi. Mereka menggesa Jiwoong digugurkan daripada kumpulan terbabit.

Tidak cukup itu, kesatuan peminat Zerobaseone turut mengeluarkan kenyataan menuntut Jiwoong supaya hentikan aktiviti seninya sehingga kontroversi itu diperjelas.

"Terbaharu, gara-gara kontroversi kata-kata kesat membabitkan Jiwoong, ia bukan setakat mencalar imej Zerobaseone, tetapi membebankan anggota lain yang tidak ada kena-mengena.

"Kenyataan samar-samar yang serta-merta dikeluarkan agensi selepas kontroversi itu hanya memburukkan lagi keadaan. Ia menyebabkan kekeliruan dan percanggahan," demikian kenyataan itu.

Kesatuan terbabit juga terkilan dengan tindakan berdiam diri agensi terbabit tanpa kenyataan susulan. Lebih mengecewakan adalah tiada usaha untuk menjernihkan situasi terbabit.

"Kami menuntut penjelasan lebih terperinci dan tepat mengenai pendirian kamu serta status Jiwoong berhubung kontroversi itu. Agensi kamu maklumkan akan betulkan fakta menerusi forensik media digital.

"Jika ia dalam proses, kami tuntut pengesahan atau sama ada prosedur mengumpul bukti dan pemeriksaan fakta sedang berjalan. Kalau tidak, kami tunggu penjelasan spesifik jika helah itu hanya percubaan menutup kontroversi itu," katanya.

Dalam pada berdepan kecaman, ramai peminat setia Zerobaseone masih mempertahan Jiwoong. Mereka bahkan menggesa agensinya melindungi artis kesayangan mereka itu.

Ada peminat sanggup menghubungi terus agensi berkenaan demi memperjuangkan nasib Jiwoong. Tidak ketinggalan, menyuarakan tuntutan pertahankannya secara besar-besaran di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:30 AM