EPEX jadi perbualan ramai gara-gara lagu terbaharu mereka.
EPEX jadi perbualan ramai gara-gara lagu terbaharu mereka.
Georgie Joseph

Semakin mekar menempa nama, kumpulan baharu EPEX menjadi perbualan ramai gara-gara lagu terbaharu mereka, Anthem of Teen Spirit mencetuskan kontroversi dari segi liriknya.

Dalam lagu terbabit, mereka menggunakan lirik 'Crystal Night' merujuk kepada perkataan 'Kristallnacht' yang berasal dari peristiwa rusuhan yang berlaku ketika insiden pembunuhan beramai-ramai atau 'Holocaust' pada November 1983.

Justeru, tindakan menggunakan terma terbabit jelas menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pendengar. Enggan isu itu berpanjangan, agensinya C9 Entertainment tampil menjelaskan kekeliruan itu.

"Ia tidak berkaitan sama sekali dengan peristiwa bersejarah itu. Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada semua warga Korea Selatan dan luar negara kerana terlepas pandang dengan penggunaan lirik kontroversi itu.

"Kami akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu dibangkitkan dan memohon maaf sekali lagi kepada sesiapa yang tersinggung," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, agensi itu menjelaskan lagu terbabit diinspirasikan daripada buku 1984 tulisan George Owell. Bagaimanapun, ia langsung tidak menyentuh mengenai peristiwa berdarah itu.

C9 Entertainment turut menegaskan muzik video serta kostum yang digunakan untuk lagu itu tidak mewakili kisah benar bersejarah. Latar belakang ditetapkan tiada hubung kait dengan mana-mana individu atau kumpulan juga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 8:08 AM