SEUNGRI.
SEUNGRI.
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO!!! Skandal pengunjung yang dipukul di luar kelab Burning Sun milik Seungri baru-baru ini nyata mengejutkan pihak. Mangsa berkenaan nampaknya turut tidak dapat pembelaan sewajarnya.

Lebih teruk, ramai mempersoalkan tindakan penyanyi itu yang juga anggota BIGBANG apabila terus berdiam diri. Meskipun insiden terbabit membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu yang dikenali sebagai Mr Jang, sebagai pemilik dia terus mengunci mulut.

Bahkan, agensinya YG Entertainment juga langsung tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan. Mereka seakan-akan tidak mahu terbabit dan ambil tahu mengenai permasalahan itu.

Sekali gus, isu berkenaan mencetuskan ketegangan dalam kalangan peminat yang mengharapkan Seungri berbuat sesuatu dan bukan berdiam diri. Sebagai pemilik kelab, dia diminta supaya bertanggungjawab.

Sewaktu insiden, ramai menyangka penyanyi berkenaan tidak berada di kelabnya. Disebabkan itu, peminat mulanya mengandaikan Seungri tidak tahu-menahu mengenai hal membabitkan kakitangannya.

Bagaimanapun, peminat mendapati penyanyi terbabit sebenarnya berada di premis berkenaan pada hari kejadian. Hal itu diketahui apabila anggota Girls’ Generation iaitu Hyeoyeon memuat naik foto mereka berdua berada di Burning Sun pada tarikh sama.

Hal itu membuatkan ramai bertambah berang apabila Seungri langsung tidak masuk campur dan cuba menyelesaikan isu itu. Padahal, maklumat mengenai mangsa yang terbabit dalam insiden itu sudah didedahkan.

Sehinggakan, ada peminat kini mengajak orang ramai memboikot segala produk yang membabitkan karier muzik mereka. Bukan saja memboikot YG Entertainment, BIGBANG, bahkan berhenti menyokong mereka.

Mereka beranggapan itu saja cara terbaik untuk memberikan pengajaran kepada artis di bawah agensi berkenaan. Bagi mereka, wang bukan segala-galanya untuk menutup sebarang permasalahan yang patut diselesaikan dengan baik.

Ada juga yang mengungkit bahawa anggota lain BIGBANG sebelum ini seakan-akan mendapat keistimewaan selepas terbabit dalam pelbagai kontroversi. Kontroversi terbabit temasuk isu dadah dalam kalangan anggotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:04 PM