Pelakon, Kodi Rasheed. Foto Rohanis Shukri
Pelakon, Kodi Rasheed. Foto Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Hilang 'port' untuk melepak kerana kedai kegemarannya ditutup, pelakon, Kodi Rasheed membuat keputusan untuk membeli dan memiliki kedai makan yang ditutup itu.

Menurut Kodi, kedai berkonsepkan kedai tomyam itu menjadi lokasi kegemarannya kerana tidak jauh dari kediamannya dan pada masa sama, selesa untuk lepak di situ bersama kenalan-kenalannya.

"Saya dalam proses untuk membuka kedai makan, berkonsepkan kedai tomyam. Lokasinya tak jauh dengan kediaman saya di Gombak.

"Ceritanya, dahulu ada satu kedai tomyam yang menjadi tempat saya dan rakan-rakan lepak. Tapi, kedai itu dah tutup. Jadi, saya beli kedai yang sama dan nak buka kedai sendiri.

"Sebabnya, saya dah tak ada tempat untuk lepak," katanya kepada Harian Metro.

Kodi, 34, berkata, dia akan membuka kedai makan itu secara rasmi pada tahun ini.

"Memang kedai makan itu menjadi tempat di mana saya banyak habiskan waktu kalau tak ada penggambaran dan sebagainya. Insya-Allah, ia akan dibuka dalam tahun ini," katanya.

Terbaharu, Kodi kini membintangi drama bersiri Menanti Senja yang ditayangkan di slot Samarinda TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 3:32 PM