KODI anggap seni lakonan adalah sebahagian daripada dunianya.
KODI anggap seni lakonan adalah sebahagian daripada dunianya.
Syafil Syazwan Jefri

Nama Kodi Rasheed mungkin tidak asing lagi dalam industri lakonan tanah air. Namun, jika dibandingkan dengan rakan seperjuangannya yang lain, populariti pelakon ini tidak begitu kencang.

Bagaimanapun, Kodi atau nama sebenar Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed tidak menafikan bahawa populariti kini bukan lagi menjadi keutamaannya.

"Saya dah tak kejar atau pedulikan mengenai populariti lagi. Kalau saya nak cari populariti, saya boleh saja buat apa-apa perkara yang tak sepatutnya di media sosial," katanya.

Menurut pelakon berusia 31 tahun itu lagi, dia lebih mementingkan kualiti hasil kerjanya.

"Populariti tidak menjamin masa depan. Begitu juga dengan kuantiti pengikut di media sosial. Jadi, pada saya adalah lebih baik saya berikan tumpuan kepada kualiti kerja.

"Nanti bila dah berumur, orang pun mungkin dah tak peduli lagi. Jadi, adalah lebih baik saya berlakon dalam satu cerita yang bagus berbanding berlakon dalam 10 cerita yang tak ada impak," katanya.

Berkongsi mengenai karier seni, Kodi menganggap bahawa seni lakonan adalah sebahagian daripada dunianya.

"Pada peringkat awal, memang saya akan terima semua tawaran lakonan sebab nak orang kenal nama saya sebagai pelakon.

"Cuma sekarang saya lebih selesa untuk memilih kerana tidak mahu dipergunakan untuk perkara yang tak seronok.

"Jiwa saya dalam dunia seni ini. Saya memang sangat suka berlakon. Ada beberapa idea dan rancangan yang saya rancang untuk direalisasikan," katanya.

Walaupun dilihat cerewet, Kodi bersyukur kerana rezekinya dan keluarga sentiasa ada.

"Saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Bahkan, keluarga saya pun boleh dikatakan selesa kerana makan dan pakai masih mencukupi.

"Alhamdulillah, tak pernah lagi saya sekeluarga tak makan kerana tiada tawaran kerja," katanya.

Terbaharu, Kodi kini membintangi drama berjudul Ali Alia yang ditayanglan di Astro Ria sejak 24 Ogos lalu.

Selain Kodi, drama ini turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Rusdi Ramli, Faezah Elai, Fimie Don dan Erynne Erynna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:15 AM