KODI Rasheed nekad kahwin muda pegang 3 prinsip dalam perjalanan karier.
KODI Rasheed nekad kahwin muda pegang 3 prinsip dalam perjalanan karier.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


“Saya berkahwin pada pagi 31 Ogos lalu di rumah keluarga isteri di Selayang, Selangor. Petangnya saya balik rumah sendirian. Pada 5 September, barulah saya jumpa isteri dan tinggal serumah. Bukan ikut adat, tetapi saya sengaja buat begini agar isteri dapat buat persediaan untuk majlis resepsi kami.

“Malamnya pula saya menang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik menerusi filem Ophilia di Festival Filem Malaysia ke-27. Menariknya, siang saya dapat isteri manakala malamnya pula dapat anugerah,” kata pelakon baru, Kodi Rasheed, 25.

Majlis resepsi Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Syazmeer Mohd Rasheed dan isteri, Nor Fatihah Mahad, 27, berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal, Batu Caves pada Sabtu lalu.

Meskipun baru mencipta nama, pelakon yang pernah bekerja sebagai pembantu peribadi kepada Que Haidar dan pengarah Raja Mukhriz ini nekad berkahwin muda. Dia yakin status suami orang bukan penghalang untuknya melangkah lebih jauh dalam dunia lakonan apatah lagi peminat masa kini semakin bijak menilai.

“Bagi saya perkahwinan bukanlah penghalang untuk saya terus aktif dalam lakonan dan mencipta nama. Memang ramai cakap macam-macam antaranya populariti saya akan menurun dan selepas ini susah mahu cari makan.

“Bagaimanapun, dalam hidup, saya sentiasa berpegang dengan tiga prinsip iaitu doa, usaha dan tawakal. Saya percaya rezeki datangnya daripada Allah. Kejayaan dalam FFM juga adalah rezeki perkahwinan kami,” katanya.

Majlis resepsi pasangan ini bertemakan Bollywood dan berlangsung meriah dengan kehadiran kaum keluarga, sahabat handai dan rakan artis antaranya Que Haidar, Izara Aishah, Raja Mukhriz, Sharifah Shahora serta Lia Natalia.

Mengenakan pakaian pengantin Bollywood, Kodi turut menunjukkan kebolehan menari tarian Bhangra sebagai kenangan hari bersejarah itu.

Kodi berkata, dia mengenali Fatihah sejak enam tahun lalu dan serius merancang untuk berkahwin tahun ini.

“Saya berkawan baik dengan adiknya dan daripada situ saya kenal Tiha. Mulanya saya kuat menyakat dia dan tak sangka timbul rasa suka di hati. Dia berjiwa penyayang dan memahami perangai saya yang kasar. Dia juga boleh bertolak ansur dalam banyak perkara.

“Sebaik bergelar suami, saya cuba buang sikap yang tidak baik. Tiha sumber kekuatan dan penyokong setia saya. Walaupun tidak sukakan bidang ini dia tetap menyokong minat saya,” katanya.

Bakal tampil dengan filem berjudul Kau Yang Satu arahan Osman Ali, Kodi dan isterinya belum merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

“Kami berhasrat mengerjakan umrah namun tarikhnya belum pasti. Mudah-mudahan ia jadi kenyataan,” katanya.

Tiha mengakui boleh menerima status isteri kepada pelakon yang kian mendapat perhatian di persada seni tanah air.

“Saya dah biasa sebenarnya. Bezanya Kodi kini lebih dikenali. Di rumah dia adalah suami saya, di luar dia milik masyarakat.

“Saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan jadual kerjanya,” katanya.

Tiha yang menonton FFM27 di kaca televisyen memaklumkan air matanya mengalir sebaik Kodi diumumkan sebagai pemenang.

Mengenai zuriat, pasangan ini sepakat merancang kerana ingin menikmati keindahan berbulan madu terlebih dulu.

“Biarlah kami habiskan masa berdua sebagai suami isteri sebelum ada anak.

“Apapun kami berserah pada ketentuan rezeki. Jika ada awal, takkan nak tolak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:01 AM