SEBAHAGIAN ubat steroid anabolik yang dirampas menerusi Ops Gym, minggu lalu. FOTO Ihsan JKNJ
SEBAHAGIAN ubat steroid anabolik yang dirampas menerusi Ops Gym, minggu lalu. FOTO Ihsan JKNJ
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merampas ubat steroid anabolik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai lebih RM2.3 juta dalam Ops Gym, minggu lalu.

Pengarah JKNJ, Dr Mohtar Pungut berkata, operasi oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKNJ itu dijalankan masing-masing di sebuah premis stor dan kediaman serta tiga premis pusat gimnasium sekitar Johor Bahru.

Katanya, sebanyak 229 item ubat steroid anabolik dan sebuah telefon bimbit dirampas dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM2.305 juta.

"Operasi dijalankan susulan aduan berkaitan wujudnya rangkaian pengendalian gimnasium sebagai pembekal ubat steroid anabolik tidak berdaftar yang utama di Johor.

"Steroid dikategorikan sebagai ubat terkawal dan kerap disalah guna untuk tujuan membina otot badan.

"Penggunaan ubat steroid memerlukan preskripsi doktor bagi tujuan rawatan kerana penyalahgunaannya boleh merosakkan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon serta terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Dr Mohtar berkata, KKM sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis dan individu yang menjual produk-produk kesihatan bagi memastikan hanya produk yang berdaftar dijual secara sah dalam pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:06 PM