SITI Zakirah bersama lima anaknya. FOTO ihsan Siti Zakirah Ghazali
SITI Zakirah bersama lima anaknya. FOTO ihsan Siti Zakirah Ghazali
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Anak ramai bukan penghalang untuk makan di kedai. Kita dan anak-anak pun ada perasaan nak lepak macam orang lain," kata Siti Zakirah Ghazali, 32.

Ibu kepada lima cahaya mata berusia antara satu hingga sembilan tahun itu memberi pandangan mengenai persepsi segelintir pihak terhadap keluarga yang mempunyai anak ramai ketika makan di restoran atau kedai makan.

Isu itu mulai menjadi perdebatan dalam kalangan warganet susulan tindakan seorang pempengaruh wanita yang meminta orang ramai makan di rumah jika tidak mahu mendengar anak kecil menangis atau bising di kedai makan.

Siti Zakirah yang berasal dari Terengganu berkata, dia sentiasa mempraktikkan kesemua anak makan dulu sebelum dia dan suami menjamah makanan.

"Kalau isu anak ramai atau anak kecil, saya memang sensitif kerana anak-anak tak pernah salah. Anak itu amanah dan rezeki daripada Allah SWT.

"Seperkara kena ingat, kedai makan tempat umum, bukan tempat kita bayar 'private' untuk keluarga kita saja. Jadi, ibu bapa kena bijak kawal suasana.

"Macam saya dan suami, kami takkan makan selagi anak-anak tak selesai. Kalau anak lapar, tentu saja mereka meragam. Lepas anak dah siap, kami makan bergilir-gilir dengan cepat. Siap semua, kami cepat-cepat keluar dari kedai. Bukan kata bertenggek lepak," katanya.

Menurutnya, dia dan suami juga mengamalkan sikap toleransi dengan salah seorang daripada mereka mengalah jika ada anak yang meragam.

"Andai kata ada anak yang meragam, salah seorang akan dukung bawa keluar dari kedai atau bawa masuk kereta untuk tenangkan.

"Siapa yang tak nak makan santai, suap menyuap dan kunyah 40 kali ikut sunnah. Tapi, kena faham dan hormat orang sekeliling.

"Kita tak boleh nak kawal orang lain daripada mencebik kita, tapi kita boleh kawal suasana dan keadaan anak kita di kedai makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 5:36 PM