Kodi Rasheed cuba sedaya upaya untuk mempelbagaikan skil lakonan
Kodi Rasheed cuba sedaya upaya untuk mempelbagaikan skil lakonan
Syafil Syazwan Jefri


Menempa nama sebagai pelakon watak jahat bukanlah satu perkara yang dirancang. Namun, semuanya adalah rezeki yang sudah ditentukan buat Kodi Rasheed.

Sinonim dengan watak jahat, Kodi terus-menerus ditawarkan untuk menjayakan watak sebegitu dalam drama mahupun filem.

Dalam usia kerjaya mencecah 10 tahun, Kodi tidak pernah menafikan watak jahat sebagai pembawa rezeki buatnya, namun dia juga cuba sedaya upaya untuk mempelbagaikan skil lakonannya.

"Dalam tempoh 10 tahun ini, kebanyakan watak yang saya pegang adalah watak jahat. Malah, sekarang pun saya sedang menjalani penggambaran filem berjudul Limbungan dan watak yang saya pegang adalah watak jahat bernama Ramli.

"Ia sangat memberi kesan kepada diri saya. Saya takut bila dah dicop sebagai pelakon watak jahat, saya akan berterusan ditawarkan watak sebegitu," katanya.

Sebagai pelakon, timbul kebimbangan dalam hatinya jika lakonannya kelihatan bertindan dan berulang-ulang walaupun buat naskhah berbeza.

"Ia merisaukan kerana saya takut andai kata lakonan saya nampak berulang-ulang. Jadi, penyelesaiannya sekarang adalah kalau saya dah ambil satu tawaran watak jahat dan kemudian ditawarkan lagi watak jahat dalam tawaran seterusnya, saya akan tolak," katanya.

KODI Rasheed ingin pelbagaikan watak lakonannya.
KODI Rasheed ingin pelbagaikan watak lakonannya.

Menurut pelakon berusia 34 tahun ini, dia tahu rezeki itu sudah ditentukan Allah dan sentiasa ada untuk hamba-Nya.

"Saya sanggup tolak. Saya percaya, rezeki itu ada. Saya percaya Allah dah susun baik-baik. Saya nak jaga kualiti lakonan saya berbanding tumpukan kepada kuantiti.

"Tapi, saya sentiasa ingatkan diri saya bahawa untuk menjaga kualiti itu, bukanlah satu tugas mudah," katanya.

Sebagai pelakon yang cukup dikenali dengan penjiwaannya mendalami sesuatu watak, Kodi berkata, dia juga pernah mencadangkan kepada pengarah untuk merombak sedikit watak yang ditawarkan.

"Banyak lagi perkara selok belok lakonan yang belum saya gali. Kadangkala, apabila tawaran yang datang adalah watak yang tak jauh berbeza daripada yang pernah saya bawakan, saya ada juga mencadangkan agar dirombak sedikit watak itu.

"Selalunya, saya akan berikan graf kepada pengarah untuk melihat sendiri bagaimana idea saya dalam mengembangkan sesuatu watak jagat itu. Bagi saya, secara realistiknya, setiap manusia yang jahat itu, tentulah ada sisi baiknya juga," katanya.

Berkongsi mengenai 'tahap kebencian' penonton terhadap watak yang dilakonkannya, Kodi bercerita kisah pengalamannya.

"Kalau nak bercerita mengenai tahap kebencian penonton terhadap watak jahat yang pernah saya bawakan, dah sampai tahap mereka kirimkan mesej dengan emoji babi selain menerima makian.

"Antara insiden makian yang paling saya ingati adalah, ketika di pasar. Saya pergi membeli sayur dan ditegur oleh seorang mak cik. Dia marah-marah saya dan beritahu peniaga di sana bahawa saya berlakon sebab penjahat.

"Saya anggap itu adalah kesan daripada lakonan saya dan dari sudut positif, itu menunjukkan lakonan saya menjadi.

KINI membintangi drama bersiri Menanti Senja arahan Faizal Nadxaman.
KINI membintangi drama bersiri Menanti Senja arahan Faizal Nadxaman.

"Sebagai pelakon, saya mengharapkan agar mesej yang saya sampaikn menerusi watak itu dapat dirasakan oleh penonton," katanya.

Terbaharu, Kodi kini membintangi drama bersiri Menanti Senja arahan Faizal Nadxaman.

"Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Zaki, juga watak jahat. Zaki adalah seorang anak yang rasa dianaktirikan dan memberontak walaupun kehidupannya mewah," katanya.

Selain itu, Kodi juga bakal memulakan perniagaan restoran yang dijangka akan dibuka dalam tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 7:00 AM