KODI ingin pelbagaikan watak.
KODI ingin pelbagaikan watak.
Syafil Syazwan Jefri


Memikul tanggungjawab sebagai pelakon sememangnya membuka ruang dan peluang untuk seseorang pemain sandiwara itu meneroka pelbagai jenis watak.

Bagi pelakon, Kodi Rasheed, dia sendiri tidak menolak sekiranya dia kini lebih sinonim dengan watak antagonis atau jahat.

Bagaimanapun, itu tidak menghalangnya untuk terus berkarya sekali gus cuba meneroka pelbagai watak lain untuk menonjolkan sisi berbeza dirinya sebagai pelakon.

"Mungkin ketika kali pertama saya membawakan watak antagonis, ia berjaya dan pengarah-pengarah pun mula nampak bakat saya sebagai pelakon watak begitu. Mungkin disebabkan itu, saya sering kali ditawarkan untuk melakonkan watak jahat," katanya.

Bagi pelakon berusia 32 tahun ini, timbul kegusaran dalam hatinya andai kata watak yang nampak berulang akan menimbulkan rasa bosan penonton.

"Saya bukanlah bosan, tetapi saya takut penonton yang bosan. Kalau boleh, saya nak lakonkan pelbagai watak dan jadi pelakon yang fleksibel. Jadi, disebabkan itulah saya sekarang lebih memilih naskah dan watak.

"Kalau tawaran yang ditawarkan itu masih juga watak antagonis, tetapi berbeza dari kebiasaan dan belum pernah saya bawakan, saya akan buat," katanya.

Mencungkil lebih mendalam mengenai penerokaannya terhadap sesuatu watak, Kodi gemarkan watak yang mampu 'merosakkan' jiwanya.

"Kalau bercakap mengenai watak, saya tak ada meletakkan watak spesifik untuk saya lakonkan sebab saya suka watak yang boleh mencabar kemampuan saya sebagai pelakon dan 'rosakkan' jiwa saya.

"Kalau bercakap mengenai watak idaman, saya mengimpikan dan sedang mengkaji watak 'split personality' yang akan saya lakonkan selepas ini.

"Untuk watak ini saja, ada 18 personaliti dan saya suka benda begini yang mana, membuatkan dalaman saya 'sakit'. Watak sebegini yang akan membuatkan saya tidak dapat tidur lena," katanya.

Ditanya mengenai label sebagai 'pelakon method' kepada sesetengah pelakon, Kodi enggan menggunakan label itu terhadap dirinya.

"Bukanlah saya nak melabel diri saya sebagai pelakon 'method' atau apa, tetapi saya memang sukakan cabaran sebegini," katanya.

Terbaharu, Kodi tampil dengan telefilem berjudul Halimun yang mula ditayangkan di platform Astro First sejak 5 November lalu.

"Watak ini menonjolkan perbezaan buat saya kerana ia bukan watak antagonis. Namun, saya akui persiapan dalam menjayakan watak ini benar-benar 'menyakitkan' saya secara dalaman.

"Ia membuatkan saya tidak dapat tidur lena kerana kalau anda tonton telefilem ini, anda akan dapat melihat watak saya sebagai Adi umpama terpuruk di satu sudut dengan penuh keserabutan, tekanan, rasa bersalah dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, dia juga perlu berada setanding dengan pelakon-pelakon hebat lain yang bergandingan dengannya seperti Nabila Huda dan Beto Kusyairy.

"Mereka memiliki keserasian yang sangat hebat. Kalau mereka muncul saja tanpa dialog pun, lakonan mereka sudah dapat memukau setiap yang menonton.

"Jadi, cabaran besar juga buat saya untuk memastikan watak Adi dilihat kewujudannya oleh penonton dan dapat berada setanding dengan dua watak utama itu," katanya.

Selain Halimun, Kodi juga kini sedang menjalani penggambaran untuk filem berjudul Kerambit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 6:40 AM