Penyanyi, Noraniza Idris. Foto Sadiq Sani
Penyanyi, Noraniza Idris. Foto Sadiq Sani
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris memanfaatkan tempoh tujuh bulan untuk menguatkan kesihatan mentalnya dan mengambil pendekatan tidak memikirkan mengenai hilang peminat dalam jangka masa itu.

Selepas melalui fasa penuh beremosi dan pernah melalui situasi umpama 'histeria' apabila terpalit dengan kontroversi mengenai penipuan dan pembatalan konsert, Ratu Etnik Kreatif itu mengakui ada kelompok peminat yang mengecamnya.

"Saya jadi hanya berfikir mengenai diri sendiri saja. Saya rasa ketika itu tidak adil kerana menggunakan jalan dan platform yang betul. Malah, ada kelompok peminat yang maklum mengenai hal ini, namun memilih untuk tetap mengecam saya.

"Ada ketika saya rasa dunia ini tidak adil, yang mana mereka yang diduga pula dikecam. Oleh itu, apabila hendak menjayakan konsert amal dan sebagainya, saya meletakkan diri saya di tempat mereka.

"Itu yang saya lalui yang mana, hilang punca pendapatan apabila sumber mencari rezeki itu tiada. Orang tidak mahu panggil untuk membuat persembahan, orang jadi takut dengan saya, situasi itu membuatkan saya begitu tertekan.

"Itu juga dalam masa yang sama membuatkan saya kini lebih aktif dalam bidang keusahawanan. Mungkin menjadikan bidang seni sebagai salah satu cabang sumber pendapatan," katanya.

Noraniza yang mesra disapa dengan panggilan Kak Ani berkata, fasa mencabar yang berlaku pada tahun lalu itu juga umpama 'mengeluarkan' sisi berbeza dirinya yang tidak sepatutnya.

Ani berkongsi mengenai kemurungan yang dialaminya selepas berdepan penipuan yang mematahkan semangatnya.

"Selepas ditipu, saya rasa serik dan lemah semangat. Pada bulan Ogos, saya mula ditipu dan tak tahu bagaimana nak hadap perkara itu. Kebetulan, pengarah konsert juga hilang.

"Jadi, apabila berlaku masalah, saya terpaksa hadap semuanya. Memang benar, saya tahu saya ditipu. Tapi, saya tak boleh komen banyak sebab masih dalam proses untuk konsert pada ketika itu," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Malam Amal Lagenda semalam.

Konsert berkenaan turut dijayakan oleh Datuk Hattan, Man Kidal, Baby Shima, Ifa Raziah dan ramai lagi.

Hasil penjualan tiket acara yang bakal berlangsung pada 3 Mac itu bakal diserahkan kepada Tokki, Zaiton Sameon, Shima, Uji Rashid, Lord (Ella & The Boys).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 12:25 PM