Noraniza Idris. Foto Hazreen Mohamad
Noraniza Idris. Foto Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Selepas melalui fasa penuh beremosi dan pernah melalui situasi umpama 'histeria' apabila terpalit dengan kontroversi mengenai penipuan dan pembatalan konsert, Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris kini lebih tenang dan memohon maaf atas kekhilafannya.

Noraniza yang mesra disapa dengan panggilan Kak Ani berkata, fasa mencabar yang berlaku pada tahun lalu itu juga umpama 'mengeluarkan' sisi berbeza dirinya yang tidak sepatutnya.

"Pertama sekali, saya nak minta maaf kepada semua media. Saya tahu saya salah dan terlalu emosional. Saya mohon maaf. Sebagai manusia, saya ingatkan saya kuat. Saya tak kuat rupanya.

"Jadi, apabila sudah sampai detik dan situasi di mana 'keluar' diri saya yang orang tidak sepatutnya tengok, benda itu tak sepatutnya berlaku dalam industri kita.

"Saya mengaku kesilapan saya. Apabila nak keluar single baharu pun saya rasa malu. Saya tak rasa media akan sokong saya. Tapi tak mengapalah," katanya.

Ani berkongsi mengenai kemurungan yang dialaminya selepas berdepan penipuan yang mematahkan semangatnya.

"Selepas ditipu, saya rasa serik dan lemah semangat. Pada bulan Ogos, saya mula ditipu dan tak tahu bagaimana nak Hadap perkara itu. Kebetulan, pengarah konsert juga hilang.

"Jadi, apabila berlaku masalah, saya terpaksa hadap semuanya. Memang benar, saya tahu saya ditipu. Tapi, saya tak boleh komen banyak sebab masih dalam proses untuk konsert pada ketika itu.

"Dari bulan Ogos tahun lalu sehingga 1 Mac, saya cuba bangun balik sebab saya nak keluar daripada kepompong kerjaya nyanyian itu. Apabila berlaku kemurungan, ia adalah satu benda yang 'hebat'," katanya.

Suaminya juga meminta bantuan penyanyi, Datuk Awie untuk menenangkan Ani yang disifatkan berubah menjadi pemarah dan histeria.

"Suami saya menghubungi Datuk Awie dan minta untuk dia bercakap dengan saya. Sebabnya, apabila dia (suami) bercakap dengan saya, saya jadi marah dan histeria. Saya boleh menjerit-jerit dan hilang punca.

"Jadi apabila Datuk Awie hubungi saya dia bertanya kepada saya 'kau buat apa ni Ani? Jangan lawan netizen. Salah atau betul, teruskan sahaja'.

"Dari situ, saya mula rasa okey. Jadi, saya cuba ubah tumpuan saya dan tak fokus kepada kerjaya. Saya mula membuka perniagaan kilang muruku dan selama enam bulan, saya dapat buka kilang sendiri pada September lalu.

"Tapi, pada masa sama, saya juga terpaksa menangguhkan dahulu single baharu yang sepatutnya dilancarkan pada tahun lalu berjudul Penawar Kita," katanya.

Terdahulu, Konsert Malai Solo sepatutnya berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober tahun lalu di Istana Budaya, namun terpaksa dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 4:52 PM