Datuk Hattan
Datuk Hattan
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi lagenda, Datuk Hattan mengakui terkejut apabila timbul isu Konsert Sifu Dan Aku yang dijadualkan berlangsung pada 3 Februari depan dibatalkan.

Hattan menjelaskan tiket konsert berkenaan sudah terjual 50 peratus dan bakal terbang ke Keningau, Sabah sebagai rangka promosi.

"Isu itu sama sekali tidak timbul kerana saya terkejut mendengar ura-ura konsert berkenaan dibatalkan. Apatah lagi, tiket sudah terjual sebanyak 50 peratus. Malah, saya juga akan ke Sabah lagi untuk rangka promosi.

"Kadang kala cerita sebegini timbul sebagai salah satu strategi pemasaran untuk membantu jualan tiket. Namun, apa yang pasti konsert ini berjalan mengikut jadual.

"Malah, penggemar muzik di sana lebih gemar penghibur yang bakal membuat persembahan turun padang sendiri untuk membuat promosi. Mungkin mereka sering dihidangkan dengan cerita pembatalan konsert dan sebagainya.

"Apatah lagi, penganjur konsert sudah mengeluarkan sejumlah wang, jadi sebagai artis kita haruslah memberikan kerjasama dan membantu mereka. Supaya ada situasi 'win-win'," katanya.

Kongsinya lagi, ada penggemar muzik di sana membeli tiket dalam jumlah yang banyak dengan kehadiran barisan penghibur yang bakal membuat persembahan. Hattan mengulas mengenai isu berkenaan ketika ditemui pada sidang media Konsert Malam Amal Lagenda bersama barisan artis tempatan yang berlangsung hari ini.

Selain Hattan, konsert berkenaan turut dijayakan oleh Noraniza Idris, Man Kidal, Baby Shima, Ifa Raziah dan ramai lagi.

Hasil penjualan tiket acara yang bakal berlangsung pada 3 Mac itu bakal diserahkan kepada Tokki, Zaiton Sameon, Shima, Uji Rashid, Lord (Ella & The Boys).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 6:39 PM