Noraniza Idris pada sidang media Konsert Malai Solo Noraniza Idris di Istana Budaya. FOTO Genes Gulitah
Noraniza Idris pada sidang media Konsert Malai Solo Noraniza Idris di Istana Budaya. FOTO Genes Gulitah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Noraniza Idris menyangkal dakwaan harga tiket konsert Malai Solo yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 21 hingga 23 Oktober depan sebagai 'cekik darah'.

Noraniza atau mesra disapa Kak Ani berkata, harga yang diletakkan adalah berbaloi dengan persembahan yang bakal dipertontonkan dan tidak banyak beza dengan harga konsert yang pernah diadakan sebelum ini.

"Mahal ke? Saya rasa macam okey kerana ada buat rujukan harga tiket konsert sebelum ini. Harga-harga tiket biasanya RM250 hingga RM1100. Jadi saya hanya tambah sedikit saja daripada harga yang pernah diletakkan penyanyi lain.

"Lagipun nilai yang saya tetapkan berbaloi dengan persembahan bakal disajikan kerana saya menggunakan pengarah muzik dan penari profesional serta teknologi terkini untuk memeriahkan lagi persembahan," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Malai Solo Noraniza Idris di Istana Budaya, hari ini.

Dalam majlis itu pelantun lagu Dikir Puteri itu turut mengumumkan penerimaan dana sebanyak RM3 juta daripada sebuah syarikat hartanah.

"Alhamdulillah saya rasa lega apabila dana ini dapat menampung kos keseluruhan Konsert Malai Solo. Bagaimanapun saya masih mengalu-alukan penaja lain yang ingin membantu membiayai konsert ini," katanya.

Dianjurkan oleh NIPV Managament Sdn Bhd, Konsert berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Noraniza menyanyikan 24 buah lagu termasuk medley yang merangkumi lagu berentak Irama Malaysia dan etnik kreatif. Tiket yang dijual sejak 19 Ogos lalu bermula RM299 hingga RM1599.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 7:18 PM