PERSEMBAHKAN 14 lagu ciptaannya untuk diperkenalkan kepada generasi baharu. FOTO: Asyraf Hamzah
PERSEMBAHKAN 14 lagu ciptaannya untuk diperkenalkan kepada generasi baharu. FOTO: Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman


DALAM komposisi penciptaan lagu, nama Awang mungkin terkebelakang berbanding Datuk M Nasir, Saari Amri dan Fauzi Marzuki.

Bahkan Awang, 56, atau nama sebenarnya Norzaini Mohammad lebih menyerlah sebagai pemain gitar kumpulan Bumiputra Rockers atau BPR.

Bagaimanapun, bisa sentuhan Awang tetap menyerlah menerusi lagu ciptaannya antaranya Luka Dilukai nyanyian Shima, Taman Astakona (kumpulan Slash), Bahang Asmara (kumpulan Gamma), Umpama Mimpi Dalam Mimpi (kumpulan Damasutra) Naluri Cinta (Toki dan Rohana Jalil) dana Segalanya Pasti (Aida Agil) yang popular pada era 1990-an.

Menyedari sumbangan besarnya itu, mendorong I-Cafe Biker Station, TSB, Sungai Buloh, Selangor menganjurkan Malam Amal Kembara Seni Naluri Awang BPR yang akan berlangsung di lokasi terbabit malam esok.

Awang berkata, persembahan itu bertujuan memperkenalkan lagu ciptaannya kepada peminat generasi baharu.

“Rasanya belum pernah ada komposer yang buat program begini bagi memperkenalkan lagu ciptaannya kepada peminat.

“Saya percaya lagu saya dikenali oleh semua golongan peminat termasuk generasi baharu.

“Selain untuk berhibur, konsert ini juga bertujuan mengutip dana bagi mengurangkan beban Shima yang menderita masalah sakit belakang (slipped disc) dan diberi status asnaf pada Julai lalu,” katanya.

Program yang sama turut dianjurkan dalam bentuk jelajah sebagai antara cara Awang mencari rezeki selepas dinasihatkan doktor supaya tidak bekerja keras atas faktor kesihatan.

“Alhamdulillah ini cara saya cari rezeki pada masa sekarang. Jika dahulu, saya aktif buat lagu dan bekerja pada waktu malam.

“Sekarang saya dengar nasihat doktor dan hanya bekerja pada sebelah siang.

“Rasanya agak berbeza tapi ia bukan masalah besar buat saya,” katanya yang pernah mengalami dua kali serangan jantung sebelum ini.

Mengulas mengenai persembahan malam amal pula, Awang berkata, ia menampilkan 14 lagu ciptaannya.

“Namun hanya Shima, Anuar Slash dan Blank Gamma yang dapat turut serta selebihnya tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain.

“Bagaimanapun, saya tak kecil hati kerana mereka boleh turut serta dalam sesi jelajah seterusnya.

“Setakat ini, lokasi yang berada dalam perancangan saya ialah Johor, Melaka dan Klang,” katanya.

Tanpa berselindung, Awang meluahkan keinginan membawa persembahan itu ke Istana Budaya namun terpaksa memikirkan pelbagai faktor terutama kos yang besar.

Awang yang menghasilkan lagu popular kumpulan BPR mengakui masih aktif mencipta lagu dan terbaharu menghasilkan lagu berjudul You’re My Friend.

“Saya bernasib baik kerana masih berpeluang mempromosikan lagu ciptaan sendiri termasuk yang terkini menerusi program Kembara Seni ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:05 AM