NORANIZA.FOTO Aziah Azmee
NORANIZA.FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Noraniza Idris mengakui sedikit tersentuh apabila lamaran untuk bekerjasama dengan beberapa penyanyi baharu atau lebih dikenali Budak Baru Nak Up (BBNU) ditolak atas alasan tertentu.

Noraniza atau mesra disapa Kak Ani berkata, dia enggan mengambil pusing dengan 'penolakan' itu sebaliknya ingin mengingatkan kepada mereka bahawa hidup ini umpama roda dan tidak selamanya kekal berada di atas.

"Ada beberapa nama artis yang pernah saya ajukan cadangan untuk bekerjasama, tetapi ditolak. Namun, mereka menolak dengan cara baik atas alasan mempunyai perancangan tersendiri.

"Saya cuma bersangka baik walaupun sedikit tersentuh. Saya pun sedar diri siapalah saya. Saya anggap apa yang berlaku perkara biasa tapi perlu diingat yang hidup ini umpama roda yang berputar kerana kita tak tahu bila masa kita jatuh," katanya.

Menurut Noraniza, kebanyakan yang menolak untuk bekerjasama dengannya adalah penyanyi wanita.

"Saya tak kecil hati pun, cuma tersentuh sedikit. Mungkin dulu saya pun begitu, agak memilih artis yang ingin bekerjasama," katanya.

Noraniza yang digelar Ratu Pop Tradisional ditemui ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman Kolaborasi Strategik Sihat & Budaya di antara C2Joy (M) Sdn Bhd (C2Joy) dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPV).

Kerjasama itu bakal menyaksikan C2Joy terbabit dalam beberapa projek yang bakal dijayakan NIPV termasuk penganjuran beberapa program membabitkan seni dan budaya, konsert solo serta pembikinan single terbaharu Noraniza hasil ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta yang bakal menemui peminat Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:19 PM