Sarimah (kanan) bersama Norhayati dalam satu majlis bersama Ibnor Riza pada Ogos lalu
Sarimah (kanan) bersama Norhayati dalam satu majlis bersama Ibnor Riza pada Ogos lalu
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 62, berada dalam keadaan stabil selepas lima hari menjalani pembedahan membuang air di kepala dekat Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras pada 2 Disember lalu.

Menurut isteri keduanya, Sarimah Sulaiman, 51, walaupun keadaan Ibnor stabil, suaminya itu masih belum sedar selepas ditidurkan kerana pembedahan berkenaan.

"Saya mewakili seluruh ahli keluarga terdekat termasuk isteri pertama, kak Yati memohon semua peminat, sahabat dan rakan artis untuk sama-sama terus mendoakan semoga abang Ibnor segera sembuh dari penyakitnya.

"Kami sekeluarga juga tidak putus berdoa kepada Allah SWT siang dan malam untuk kesembuhan abang Ibnor," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sampai bila Ibnor akan ditidurkan, Sarimah berkata, buat masa ini, dia dan ahli keluarga terdekat masih menunggu perkembangan dari doktor lagi.

"Suami juga masih ditempatkan di wad high-dependency unit, HCTM selepas pembedahan.

"Saya dan Kak Yati (isteri pertama) juga tidak dibenarkan menjaga abang Ibnor di wad selepas pembedahan berkenaan dan mungkin dalam tempoh sehari dua lagi baru kami dibenarkan melawat," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Sementara itu, mengulas hubungan dengan isteri pertama, Norhayati Mohd Nor, 56, pula, kata Sarimah, mereka juga rapat bagaikan sebuah keluarga yang besar.

"Hubungan kami menjadi rapat bila sama-sama menjaga Abang Ibnor ketika sakit.

"Walaupun menetap di Brunei Darussalam, Kak Yati juga sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama bergilir menjaga abang Ibnor di wad sebelum pembedahan berkenaan.

"Kak Yati menetap di Brunei dan pada masa sama menjaga kedua ibu bapanya yang sakit di sana," katanya.

Terdahulu, Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu dan hingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan pusingan serta berhabis kira-kira RM80,000 bagi membiayai kos rawatan penyakitnya itu.

Ibnor sebelum itu mengalami demam berpanjangan sebaik saja selesai menjalani rawatan kemoterapi di HCTM pada awal bulan lalu, selepas dimasukkan ke wad sejak 7 November lalu.

Selepas buat kemoterapi pada 10 November lalu, Ibnor terus demam dan ia berlarutan sehinggalah dia disarankan doktor menjalani pembedahan membuang air di kepala dan ditidurkan pada 2 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 3:50 PM