Ibnor Riza Ibrahim, 62, menunjukkan leher yang membengkak akibat menghidap kanser limfoma tahap empat ketika ditemui dirumahnya di Taman Intan Duyung, April lalu. FOT ARKIB NSTP
Ibnor Riza Ibrahim, 62, menunjukkan leher yang membengkak akibat menghidap kanser limfoma tahap empat ketika ditemui dirumahnya di Taman Intan Duyung, April lalu. FOT ARKIB NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Isteri penyanyi Ibnor Riza, iaitu Sarimah Sulaiman, 51, memaklumkan masih menunggu perkembangan terbaru pihak hospital mengenai keadaan kesihatan suaminya.

Menurutnya, selepas pembedahan, suaminya ditempatkan di high-dependency unit (HDU) Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras.

"Buat masa ini pihak hospital tak maklumkan apa-apa lagi. Abang Ibnor juga belum sedar kerana masih ditidurkan.

"Jangkaan bila dia akan sedar pun doktor belum pasti kerana keadaan abang Ibnor sedikit kritikal. Kami kini tunggu tindak balas dari abang Ibnor. Harap dia terus kuat," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, penyanyi popular era 1980-an ini menjalani pembedahan bagi membuang lebihan air di kepala, Sabtu lalu.

Dimaklumkan pembedahan terbabit berjaya, namun hingga kini dia masih lagi ditidurkan. Penyanyi berusia 62 tahun itu dalam keadaan baik, tetapi masih perlu dipantau rapi oleh doktor yang merawatnya.

Sarimah berkata, suaminya juga tidak dibenarkan menerima kunjungan pelawat, termasuk ahli keluarga sendiri kerana dia memang dalam pemantauan sepenuhnya oleh doktor.

Dia turut memohon doa semua yang mengenali dan tahu suaminya itu berjuang menghadapi kanser limfoma tahap empat dihidapi agar terus kuat serta diberikan keajaiban oleh Allah untuk pulih kembali.

"Pembedahan ini sebenarnya boleh dikatakan berlaku secara tiba-tiba selepas tahap kesihatan suami saya turun secara mendadak dan perlu dibedah segera apabila air di kepalanya juga sudah banyak dan perlu dikeluarkan.

"Kini, saya hanya minta doa daripada orang ramai agar suami diberikan kesembuhan oleh Allah SWT. Terus-terang, saya sedih apabila tengok keadaan suami macam ini sekarang," katanya tidak dapat menahan sebak.

Sarimah berkata, Ibnor sebelum itu mengalami demam berpanjangan sebaik saja selesai menjalani rawatan kemoterapi di HCTM pada awal bulan lalu, selepas dimasukkan ke wad sejak 7 November lalu.

"Selepas buat kemoterapi pada 10 November lalu, suami saya terus demam dan ia berlarutan sampailah sebelum dia menjalani pembedahan, semalam.

"Rawatan kemoterapi itu ada dua sesi, tapi tak dapat diteruskan sebab suami dah mula demam serta turut menyebabkan jangkitan kuman kerana dia pun sudah lama menghidap kanser limfoma dan kuman itu pula merebak ke kepala," katanya.

Terdahulu, Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu dan hingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan pusingan serta berhabis kira-kira RM80,000 bagi membiayai kos rawatan penyakitnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:17 PM