Arwah Ibnor Riza ketika ditemui dirumahnya sebelum ini. Foto Arkib NSTP
Arwah Ibnor Riza ketika ditemui dirumahnya sebelum ini. Foto Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Penyanyi Azizul Khamis memaklumkan keluarga Allahyarham Ibnor Riza sebolehnya mahu arwah dikebumikan malam ini.

Azizul berkata, jenazah akan dihantar ke bahagian forensik terlebih dulu dan ingin dibawa pulang ke Batu Kikir, Negeri Sembilan.

"Saya sembang-sembang, bincang-bincang tanya Sarimah dan Hayati, dua-dua isteri dia. Sekarang ini jenazah sedang dibuka kabel dan tiub-tiub. Kemudian akan dibawa ke forensik, dimandikan, dikafankan.

"Katanya nak sembahyang di sini, nak bawa balik ke Batu Kikir. Adik-beradik dia cakap kalau boleh nak cepat-cepatkan lagi. Itu sumber yang saya dapat tahulah daripada isterinya," katanya.

Bagaimanapun Azizul berkata tidak dapat dipastikan sama ada urusan itu akan berjalan seperti dirancang.

"Apa-apa hal, rasanya malam ini juga akan dikebumikan. Kepastian nak gerak dari sini pun tak pasti lagi sebab forensik tak dapat tengok lagi," katanya yang berada di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras, di sini.

Ibnor meninggal dunia jam 3.30 petang tadi di HCTM.

Terdahulu, penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.

Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu dan berterusan menerima rawatan termasuk kemoterapi yang menelan kos perbelanjaan agak tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 5:14 PM