Ibnor Riza
Ibnor Riza
Farihad Shalla Mahmud


Kuala Lumpur: Penyanyi bersuara lunak era 1980-an, Ibnor Riza, 62, yang diuji penyakit kanser limfoma tahap empat, ditidurkan untuk menjalani pembedahan pada kepala.

Berita itu diumumkan penyanyi Nizam Laksamana menerusi perkongsian pada Facebook (FB), malam tadi.

"Kawan-kawan yang dikasihi. Saudara kita, Ibnor Riza ditidurkan bagi tujuan pembedahan di kepala. Ini dibuat bagi mengeluarkan air yang ada di kepala di mana ia beri tekanan dan kesakitan yang amat," tulisnya.

Melalui hantaran itu, Nizam yang terkenal dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta turut memaklumkan Ibnor dijadual menjalani pembedahan pada jam 9 malam tadi.

Justeru, Nizam memohon peminat Ibnor agar mendoakan kesejahteraan kepada sahabatnya itu.

"Mohon jasa baik kawan-kawan doakan akan keafiatan, kekuatan dan semoga pembedahan nanti tiada sebarang kesukaran.

"Mudah-mudahan doa kawan-kawan Allah perkenan dan makbulkan. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada saudara kami ini untuk melalui masa yang sangat menyulitkan ini.

"Kasihanilah dia Ya Allah," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.

Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk

Setakat ini, Ibnor yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dilaporkan sudah melalui proses kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 12:13 AM