Jenazah Ibnor Riza diusung untuk dikebumikan selepas selesai solat jenazah di Masjid Tunku Alif Hussein Al- Amin Kariah Tengkek. Foto Azrul Edham
Jenazah Ibnor Riza diusung untuk dikebumikan selepas selesai solat jenazah di Masjid Tunku Alif Hussein Al- Amin Kariah Tengkek. Foto Azrul Edham
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Jenazah penyanyi terkenal era 80-an, Allahyarham Ibnor Riza, 62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan, sekitar jam 10.20 malam tadi.

Jenazah Ibnor yang dibawa dari Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) tiba di Masjid Tunku Alif Hussein Al-Amin Kariah Tengkek, jam 8.30 malam disambut oleh kaum keluarga dan saudara mara serta rakan-rakan selebriti yang menanti untuk disolat sebelum dikebumikan.

Allahyarham menerima penghormatan terakhir rakan-rakan artis antaranya Datuk Hattan, Datuk S Atan, Ameng Spring, Mat Over, Nursheila Amin, Zalifah Ibrahim dan ramai lagi.

Ibnor yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dan Mimpi Yang Tak Sudah, meninggalkan dua isteri iaitu isteri pertama Norhayati Mohamad Nor, 58, dan isteri kedua Serimah Sulaiman, 51, serta dua cahaya mata dan empat cucu.

Kematian Ibnor meninggalkan kesan mendalam buat rakan seangkatannya, Datin Salwa Abdul Rahman apabila bercakap dengan arwah buat kali terakhir sebelum dia ditidurkan untuk menjalani pembedahan di kepala, awal bulan ini.

"Ia menjadi kenangan buat saya selamanya. Arwah menghidap kanser limfoma, semasa menjalani rawatan kemoterapi ada pendarahan di kepala dan arwah terpaksa ditidurkan.

"Keadaan semakin kritikal sejak seminggu yang lalu, doktor juga sudah beritahu supaya bersiap sedia untuk hadapi perkara ini. Tapi saya bersyukur kerana pada hari Ibnor ditidurkan, dia ada buat panggilan video pada jam 11.45 malam.

"Kami dapat berbual seketika. Ibnor beritahu dia sudah reda dan tak mahu lagi mengharapkan pertolongan sesiapa pun. Dia reda, itu sahaja kata-kata akhir daripada arwah," katanya yang terbabit dalam nyanyian bersama Ibnor sejak 1986.

Salwa bersama Ibnor Riza
Salwa bersama Ibnor Riza

Penyanyi Nizam Laksamana pula menyifatkan Ibnor seorang yang menyintai irama Melayu dan sangat menjaga lagu tradisi Melayu seperti joget dan zapin.

"Begitu juga lagu 60-an. Itu kelebihan yang dia ada. Dia sangat tegas berkenaan kualiti lagu. Kalau praktis atau rehersal mesti nak muzik yang sempurna.

"Dia juga sangat beriman, jaga solat. Setiap kali ada masa terluang dia akan berzikir. Dia sentiasa berzikir. Selepas itu dia akan berbual-bual kemudian sambung semula.

"Kebelakangan ini saya selalu menjayakan show dengan dia termasuk ke Sabah. Kami duduk sebilik dan dia suka bergurau. Kalau berkawan, dia ada orang-orang tertentu yang dia boleh bergurau," katanya.

Menurutnya, antara sikap arwah yang tidak diketahui ramai, dia akan mencadangkan nama kawan-kawan lain untuk menjayakan show.

"Kalau tahu rakan-rakan artis yang susah, dia akan beritahu abang agar minta nombor akaun bank untuk dibantu. Itu antara kebaikannya. Dia juga buat solat untuk mendoakan rakan-rakan.

"Cuma saya agak ralat tak dapat bersamanya pada hari terakhir di dunia kerana saya berada di luar kawasan sekarang dan hanya akan balik ke Kuala Lumpur pada 20 Disember.

"Insya Allah jika ada rezeki saya, saya akan menziarahi kuburnya nanti," katanya.

Ibnor meninggal dunia di HCTM jam 3.30 petang semalam selepas lebih dua minggu tidak sedarkan diri kerana pembedahan mengeluarkan cecair di kepalanya.

Allahyarham Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat, Mac lalu. Difahamkan Allahyarham sudah melakukan sembilan sesi kemoterapi dan berhabis kira-kira RM80,000 bagi membiayai kos rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 5:39 PM