NAS Ahmad.
NAS Ahmad.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Bekas wartawan hiburan, Nas Ahmad, 61, mengakui dia harus sabar menunggu giliran untuk menjalani pembedahan jantung di hospital kerajaan berikutan tidak mempunyai insurans peribadi.

Nas atau nama sebenarnya, Md Nasir Ahmad dihubungi berkata, keadaan kesihatannya kini bagaimanapun stabil dan boleh bertahan lagi kerana satu saluran jantung yang tersumbat akibat kolestrol.

"Jadi, buat masa ini saya harus menunggu giliran lagi walaupun sudah lebih setahun menanti untuk dapatkan slot kosong bagi melakukan pembedahan jantung di Hospital Serdang. Insya Allah, saya akan terus menunggu dengan sabar sebab nak buat di hospital swasta, saya tiada insurans peribadi.

"Selain itu, saya pun faham kini terlalu banyak kes yang mungkin lagi kritikal perlu didahulukan oleh pihak hospital kerajaan kepada pesakit jantung lain memandangkan saluran jantung saya yang tersumbat baru satu.

"Apapun, sekarang nak berjalan 100 meter saya dah tak larat sebab cepat letih dan mengah. Nak bekerja dah tak boleh lagi dengan penglihatan juga semakin kabur. Tapi, saya cuba tak nak duduk diam dan berehat saja di rumah," katanya kepada Harian Metro.

Nas yang pernah popular dengan segmen Terjah di Melodi berkata, kerinduan pada kerja penyiaran menyebabkan dia tetap berusaha membuat video 'content' untuk dimuatkan di saluran YouTube miliknya.

"Di rumah, saya tak mahu duduk berehat dan tidur saja kerana tidak boleh bekerja disebabkan penyakit ini. Saya kena cuba jalani kehidupan seperti biasa walaupun ada kekangan pergerakan kerana cepat penat.

"Bagi saya, kena kuat semangat hadapi ujian kesihatan ini, termasuk reda dengan keadaan diri yang 'zero income' (tiada pendapatan) serta berstatus asnaf. Memang saya dalam kategori 'miskin bandar' sekarang," katanya.

Hanya bergantung dengan pendapatan dua anaknya yang bekerja di kedai serbaneka, Nas berkata, dia bersyukur kerana sewa bulanan rumahnya dilunaskan oleh bantuan diperoleh daripada Pusat Zakat Selangor (PZS).

"Sewa rumah, Alhamdulillah dapat bantuan daripada PZS. Tapi, kalau tanya saya mengenai bantuan kewangan, memang diperlukan bagi menampung kos rawatan mingguan dan bulanan kerana saya dirujuk pada dua hospital iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

"Saya menetap di Kota Damansara dan kalau nak ke hospital untuk temujanji doktor memang kena guna pengangkutan awam seperti kereta grab. Sebab, saya dah tak boleh memandu kereta untuk ke mana-mana,' katanya.

Sehubungan itu, kepada orang ramai yang ingin membuat sumbangan membantu meringankan bebanan kewangan dihadapi Nas, boleh ke akaun Maybank, 1010 1133 6478 (Md Nasir Ahmad).

Terdahulu, Nas yang mempunyai empat anak dan dua cucu difahamkan didiagnos menghidap penyakit jantung sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:24 PM