Bekas wartawan hiburan popular, Nas Ahmad dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat masalah jantung.
Bekas wartawan hiburan popular, Nas Ahmad dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat masalah jantung.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya kena usaha. Tengok pihak mana yang membantu. Insya-Allah, ini soal rezeki. Kalau ada rezeki saya, adalah.

"Selain itu ada juga dapat respon daripada beberapa pertubuhan nak bantu. Mereka terperanjat kerana dulu nama saya semua orang kenal. Takkanlah dia ini pula yang kena dibantu," kata bekas wartawan hiburan popular, Nas Ahmad, 61, yang sedang berdepan ujian penyakit jantung dan memerlukan kos lebih RM30,000 untuk pembedahan.

Bekas wartawan segmen Terjah dalam program hiburan terkenal, Melodi itu berkata, orang mungkin menyangka apabila dia tampil dalam program TV, kehidupannya agak senang sedangkan hakikatnya berbeza.

"Dalam Melodi saya keluarkan cerita mengenai artis sakit dan dapatkan sumbangan. Itu rezeki dia. Sekarang masa saya pula. Jadi saya serahkan kepada rezeki.

"Dulu saya bekerja tapi sekarang tak lagi. Kalau orang berada memang tiada masalah tapi kalau macam kita ini memang kena usaha. Saya tak rasa kecil hati kalau tak dapat dan tak rasa sombong juga kalau dapat banyak sumbangan," katanya kepada Harian Metro.

Selepas meninggalkan TV3, Nas atau nama sebenarnya Mohd Nasir Ahmad mewujudkan saluran YouTube yang dinamakan Nas Ahmad Terjah.

Nas berkata, penyakit jantungnya mula dikesan Januari tahun lalu.

"Sebelum ini saya tak pernah ada apa-apa penyakit serius dan tak pernah ada pengalaman masuk wad. Setakat demam itu biasalah. Semasa nak tidur saya rasa susah bernafas.

"Sejam kemudian saya berpeluh pula walaupun buka pendingin hawa. Saya rujuk sumber dan baca rupa-rupanya itu tanda serangan jantung. Memang agak terperanjat dan saya terus hubungi ambulans dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Nas sepatutnya dijadualkan menjalani pembedahan angiogram pada Mac lalu tetapi ditunda kepada Disember.

"Memandangkan agak lama dari Januari hingga Disember, ada beberapa kesan antaranya kaki saya bengkak hingga susah solat dan pelbagai masalah lain. Kebetulan masalah ini berlarutan ke bahagian dada, saya pergi untuk temujanji yang ditetapkan pada 20 Disember di Hospital Serdang.

"Saya tak dapat buat pembedahan kerana perlu pastikan bengkak surut yang ambil masa sebulan dua. Mac nanti barulah saya masuk wad semula," katanya.

Ia bagaimanapun perlu bergantung kepada ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) yang dijalankan sebelum pembedahan dibuat.

Terdahulu, berita berkenaan mula tular apabila pengacara Ahmad Fedtri Yahya, berkongsi perkara ini menerusi akaun media sosialnya

Ia mendapat respon pelbagai pihak termasuk pelakon terkenal, Nabila Huda yang turut sama meninggalkan komen dan mendoakan kesembuhan Nas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 6:21 PM