AJAI
AJAI
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Ajai memaklumkan hubungan anaknya, Ayu Nazirah dengan bekas isteri yang juga penyanyi, Nourul Wahab sudah kembali damai.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 48, berkata, mereka sudah saling memohon maaf dan berhubung.

"Alhamdulillah mereka sudah berbaik. Ayu maklumkan dia sudah menghubungi mama (Nourul) dan mereka saling memohon maaf atas konflik yang berlaku.

"Hubungan mereka pun sudah okey sekarang. Bagi saya, biasalah kisah ibu terasa hati. Tiada apa yang serius pun," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single Saat Hilang Centimu yang pernah dipopularkan Allahyarham Siti Sarah namun diberi nafas baharu oleh Aufahanie.

Menurut Ajai, dia juga tidak masuk campur isu ketegangan yang berlaku antara Nourul dan Ayu kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.

"Dua-dua sudah dewasa dan boleh buat keputusan sendiri. Kalau bab gaduh antara ibu dan anak ini saya dah faham sangat.

"Lagipun mereka darah daging, lambat atau cepat pasti akan berbaik kalau ada masalah," katanya.

Dalam pada itu, Ajai turut menjawab dakwaan anaknya tinggal bersama pelakon Maria Farida sehingga menjadi punca masalah yang terjadi.

"Ayu pernah jadi pembantu peribadi kepada Maria. Tetapi sejak empat bulan lalu dia sudah ada kerja tetap dalam bidang zoologi dan sudah tinggal di rumah sendiri.

"Kalau Ayu nak kahwin saya tiada halangan. Siapapun pilihan dia saya sokong. Umur dia pun sudah semakin meningkat.

"Cuma saya nasihatkan fokus kepada kerja dulu. Untuk bakal suami Ayu saya sudah bertemu beberapa kali dalam jamuan makan malam. Saya nasihatkan dia untuk stabilkan dulu kehidupan sebelum ambil keputusan berkahwin," katanya.

Pada September lalu, Nourul berkongsi di media sosial foto dirinya sedang hamil dan menceritakan kronologi sebelum melahirkan Ayu kira-kira 25 tahun lalu dan kini seperti terasa hati kerana anaknya sudah mempunyai 'ibu baru'.

Perkongsian dibuat itu menerima pelbagai komen netizen yang berbaur sedih dan terharu dengan pengorbanan besar seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja termasuk nyawa demi anak tersayang.

Ayu Nazirah adalah cahaya mata tunggal Nourul bersama Ajai yang bernikah pada 1996 dan sah bercerai pada 2006.

Pada 2012, Nourul berkahwin kali kedua dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp dan dikurniakan tiga anak iaitu Zachary, 10, Raphael, 8, dan Isabella 4.

Mereka kini menetap di Bali, Indonesia, selepas berpindah dari Malaysia pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 5:48 PM