NOURUL dan Ayu dalam sesi video secara langsung.
NOURUL dan Ayu dalam sesi video secara langsung.

Kuala Lumpur: Penghijrahan penyanyi, Nourul Depp bersama suami, Eric Daniel Depp dan tiga anak mereka, Zachary, Raphael dan Isabella ke Bali, Indonesia tanpa anak sulungnya, Ayu Nazirah menimbulkan pertanyaan dalam kalangan netizen di media sosial.

Ayu, 23, adalah anak hasil perkahwinan Nourul dengan bekas suami, Ajai yang juga komposer dan penyanyi popular.

Nourul dan Ayu yang tampil dalam sesi video secara langsung berkata, Ayu tidak dapat turut serta ke Bali kerana isu berkaitan visa dan situasi penularan Covid-19 ketika ini.

"Ayu memang dah tahu saya akan berpindah ke Bali sejak saya berkahwin lagi. Saya berusia 44 tahun dan bukan dalam usia persaraan, manakala suami sudah berusia 56 tahun dan mendapat visa untuk berhijrah.

"Saya pun 'tumpang' visa Eric. Ayu pula berbintikan Ajai, jadi kami tak dapat bawa Ayu," katanya.

Menurutnya, sekiranya bukan kerana Covid-19, Ayu akan turut serta bersamanya ke Bali. Namun, disebabkan situasi berkenaan, Ayu tidak dapat ke sana.

"Selepas pintu sempadan dibuka semula, Ayu akan datang ke sini (Bali). Ramai yang bertanya, kenapa Ayu tak ikut. Susah saya nak menjawab satu persatu," katanya.

Sementara itu, Ayu berkata, dia kini sudah mula hidup berdikari.

"Saya semakin meningkat dewasa. Memang dari dulu lagi saya dah tahu bahawa keluarga mama akan berpindah ke Bali kerana itu adalah impian bapa tiri saya.

"Saya pula anak bapa yang lain. Kalau tukar nama nanti, drama lain pula. Alhamdulillah, saya pun sudah bekerja dan boleh menyara kehidupan saya.

"Saya berbesar hati kerana mama berikan peluang kepada saya untuk berdikari. Saya gunakan peluang ini untuk belajar hidup sendiri," katanya.

Nourul juga tidak menafikan bahawa perpisahan dengan anaknya itu umpama dia kehilangan sebahagian daripada dirinya.

"Sewaktu di dalam pesawat, saya rasa seperti separuh daripada badan saya tertinggal di Malaysia. Memang saya rasa sangat sedih, namun, Ayu ada pilihan hidupnya sendiri.

"Dia ada ayah dan pasukan kerjanya di Malaysia. Ramai yang akan bantu untuk menjaganya di Kuala Lumpur. Banyak kenangan di Malaysia dan keluarga saya pun ramai di tanah air. Sebagai ibu, kalau kena tinggal macam mana pun, kalau tak cerai sekalipun, anak pergi sambung belajar pun memang rasa hilang separuh badan," katanya.

Nourul juga meminta pengikut dan peminatnya akan mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga dan anaknya.

"Kita doakan yang terbaik untuk keluarga dan juga Ayu. Ini fasa baru dalam hidup saya dan anak saya. Saya nak anak saya menjadi anak yang kuat," katanya.

Nourul bersama suami dan tiga anak mereka kini menjalani kuarantin di Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:54 PM