AJAI.
AJAI.
Zaara Talita


Petaling Jaya : Penyanyi dan komposer popular, Ajai, 49, yang akan mengadakan konsert By Ajai & Mega Friends pada 3 Ogos ini tidak akan mengundang bekas isterinya, Nourul Depp walaupun mereka mempunyai banyak lagu popular sebagai pasangan duet dulu.

Ajai yang juga pemain keyboard kumpulan Exists berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah secara peribadi dengan bekas isterinya itu, tetapi berpendapat keserasian dan 'chemistry' di atas pentas perlu ada bagi memberikan yang terbaik.

"Sebenarnya bukan tidak mahu bersikap profesional. Pada saya, apa yang dah berlalu itu, biarkan saja berlalu. Saya tiada masalah dengan dia. Namun, tidak dinafikan 'chemistry' itu penting ketika bekerja.

"Benda dah lama. Bukan sebab marah atau apa, tapi perlukan keikhlasan apabila hendak membuat persembahan. Mungkin saya dah tak dapat rasa benda itu," katanya.

Konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu menyaksikan Ajai akan mengundang beberapa penyanyi popular seperti Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip dan Aufahanie.

Bagaimanapun, Ajai tidak menafikan jika 'chemistry' itu kembali, kemungkinan dia dan Nourul akan berkongsi pentas menyanyikan lagu-lagu duet popular mereka.

"Mungkin suatu hari saya dapat rasa, insya-Allah kot. Iyalah, susah. Benda ni kita tak boleh paksa perasaan.

"Nak kembali ke 'natural' itu susah. Pada saya mungkin ada benda-benda yang 'sentuh' kot, walaupun tiada masalah antara kami," katanya.

Ajai dan Nourul mula berduet pada 1998 dan mereka memiliki empat album duet iaitu Sehati Sejiwa, Ajai & Nurul, Seiring Sejalan dan Serasi Bersama.

Mereka popular dengan lagu-lagu seperti Aku Cinta Aku Rindu, Keliru dan Lagu Rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 1:12 PM