Nourul dan anaknya, Ayu Nazirah.
Nourul dan anaknya, Ayu Nazirah.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur "Saya mahu 'tutup buku' dan tidak mahu komen lagi berkaitan isu terbabit kerana tidak mahu ia berpanjangan," kata penyanyi, Nourul Depp, 46, ketika diminta mengulas mengenai konflik dengan anaknya, Ayu Nazirah, 25.

Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab berkata, jika dia beri komen mengenai konflik dengan anaknya itu, orang yang tidak faham akan cepat jatuh hukum dan menyalahkan dirinya.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu lagi kerana tidak mahu orang yang tidak faham komen yang bukan-bukan dan akhirnya ia tidak mendatangkan kebaikan untuk kedua belah pihak.

"Saya ada tengok video komen Ajai itu tetapi saya diam saja kerana ada perkara yang betul dan ada juga yang tidak," katanya ketika ditemui dia acara motivasi dan bimbingan 'Fire Talk' & Showcase with Nourul' yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini.

Nourul berkata, dia dan anaknya, Ayu juga memiliki kehidupan masing-masing.

"Sebagai ibu bapa, anak-anak tidak semestinya hak mutlak kita. Dia juga ada hak untuk buat apa-apa yang dia mahu dan saya tak nak komen selebihnya," katanya.

Mengenai dakwaan Ajai dan Ayu sendiri baru-baru ini bahawa mereka sudah berbaik semula, Nourul juga tidak mahu mengulas perkara berkenaan.

"Itu pendapat dia (Ajai) dan Ayu tapi saya tidak mahu komen apa-apa," katanya.

Bagaimanapun, Nourul bersyukur kerana ramai pihak yang mendoakannya ketika berdepan dengan konflik bersama anaknya itu.

Terdahulu, konflik membabitkan Nourul dan anaknya, Ayu bermula apabila dia berkongsi di media sosial, foto dirinya hamil dan menceritakan kronologi sebelum melahirkan Ayu sekitar 25 tahun lalu dan kini seperti terasa hati kerana anaknya sudah mempunyai 'ibu baru' pada September lalu.

Ayu adalah anak hasil perkahwinan Nourul dengan bekas suami, Ajai. Mereka yang berkahwin pada 1996, bagaimanapun bercerai pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 1:29 PM