Perkongsian Aril di media sosial.
Perkongsian Aril di media sosial.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengacara, Aril Pilus berkongsi berita gembira atas kelahiran cahaya mata keduanya, pagi tadi.

Aril ketika dihubungi turut berkongsi keadaan isterinya, Puteri Erma Edlinda yang masih belum stabil dan berada dalam ruang pembedahan bagi membuang ketumbuhan (fibroid) yang melekat di bahagian servik dan rahim.

"Syukur atas kurniaan Allah SWT, isteri saya selamat melahirkan bayi jam 10.20 pagi. Alhamdulillah.

"Walau bagaimanapun, isteri saya masih belum dalam keadaan baik, kesan daripada pendarahan yang tak berhenti akibat daripada ketumbuhan (fibroid) yang melekat di bahagian servik dan rahim menyukarkan proses pembedahan.

"Selepas mendapat nasihat daripada doktor, isteri saya sekali lagi dimasukkan ke bilik pembedahan untuk proses pembuangan fibroid dan rahim.

"Doakan isteri saya selamat dan kembali sihat seperti sedia kala. Amin," katanya.

Aril bagaimanapun tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai kelahiran bayinya kerana sedang berada di hospital dan menemani isterinya berjuang dari luar ruang pembedahan.

"Apa-apa, saya akan kongsikan nanti," katanya.

Aril mendirikan rumah tangga dengan Puteri pada 20 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Tun Adriel Mikael, 8.

Pasangan itu sebelum ini pernah berkongsi mengenai fibroid yang dialami Puteri, yang dikesan sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 5:48 PM