Fauziah dan ND Lala.
Fauziah dan ND Lala.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Bekas isteri penyanyi dan pelakon, Datuk ND Lala iaitu Fauziah Sarman menafikan dia tidak bersetuju untuk berpoligami seperti didakwa bekas suaminya itu dalam hantaran video di Instagram, baru-baru ini.

Fauziah, 55, berkata, dia sebenarnya bersetuju untuk berpoligami, tetapi ia tidak disampaikan terus kepada ND Lala sebaliknya disampaikan kepada rakan baiknya iaitu pelakon, Zaidi Omar dan penyanyi, Roslan Madun.

"Saya cakap saya dah reda sebab dah macam-macam cara saya buat untuk berjumpa dengannya, tetapi semuanya memang tak dilayan menerusi WhatsApp dan mesej pesanan ringkas.

"Saya dah sedar. Mungkin ini takdir saya dan sudah menerima untuk poligami. Mereka menangis dengar kata-kata saya, tapi di pihak abang ND tak boleh terima," katanya dalam pertemuan ekslusif dengan Harian Metro.

Menurutnya, dia sayangkan keluarganya dan mencuba pelbagai cara untuk pulihkan keadaan dengan ND Lala malangnya ia seperti bertepuk sebelah tangan.

"Saya hanya letakkan syarat tak nak ambil tahu langsung mengenai wanita itu (Siti Munirah). Tapi ia hanya berlaku di sebelah pihak saya tanpa ada respon daripada abang ND.

"Sampai tahap saya dah penat berjuang seorang diri dan buat keputusan untuk berhenti berharap. Sebab bila dia tolak, saya lihat dia tak nak poligami.

"Dia memang makin menjauh dari saya dan saya rasa cukup-cukuplah. Dia pun dah tinggalkan saya setahun lebih dan duit nafkah pun tak beri," katanya.

Fauziah berkata, permintaan ND Lala terhadapnya juga agak pelik iaitu memintanya ke pejabat agama untuk sesi kaunseling.

"Kawan-kawannya kata kenapa sampai begitu sekali sedangkan isteri kamu (ketika itu) sedia nak bermadu. Mereka nasihatkan dia supaya selesaikan dengan baik dan dia balik rumah macam biasa.

"Abang ND kata tak boleh. Saya disuruh pergi kaunseling dan bila orang kaunseling dah 'study' kes, mereka akan panggil dia pula. Selepas itu kami akan ditemukan.

"Mereka tanya lagi selepas itu apa? Dijawabnya jika ada jodoh adalah dan kalau tiada, tiadalah. Boleh pula macam itu. Jadi ceritanya kata saya tak nak poligami memang tak betul," katanya.

Menurutnya, rakan-rakan artis seperti Datin Suliza Salam juga memberi pendapat dalam perkara ini.

"Dia kata saya jenis yang setia dan tak boleh hidup tanpa abang ND. Jadi dia nasihatkan saya supaya terima saja bermadu walaupun benda itu pahit. Abaikan saja wanita itu kerana yang penting ND balik rumah dan layan saya macam biasa.

"Ramai lagi yang nasihatkan saya dan itu yang buat saya terbuka hati untuk bermadu. Saya pun ada cakap dengan seorang ustaz dan dia terkejut dengan tindakan saya.

"Saya kata padanya, saya tak nak kehilangan abang ND kerana dah lebih setahun dia tak balik. Saya dah sampai peringkat dah rindu dia dan dapat dengar suara pun jadilah," katanya.

Fauziah berkata, dia kini sudah tabah dan pulih sekitar 90 peratus untuk berdepan kenyataan. Hanya dia terkilan dengan sikap ND yang langsung tidak mahu bertemu dan bercakap dengannya serta anak-anak.

"Saya reda apa yang berlaku terhadap saya. Allah uji saya banyak manalah sangat kalau dibandingkan dengan orang lain.

"Saya bersetuju wanita itu dianggap 'penyondol' dalam rumah tangga saya. Bagi saya sesuai ayat itu digunakan. Tapi saya tak salahkan dia seorang kerana kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Dua-dua sama perangai.

"Saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga pada pengikut-pengikut di Instragram, Facebook dan TikTok yang tak putus-putus bagi kata-kata semangat pada saya selama ini," katanya.

Menurutnya lagi, ada beratus mesej atau DM yang diterima yang kebanyakannya senasib dengannya. Malah dia tidak sempat untuk baca dan balas.

Pada 5 September lalu, Fauziah memaklumkan kes cerai mereka selesai secara baik.

ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga mereka pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 3:34 PM