Fauziah (dua dari kanan) bersama anak-anaknya.
Fauziah (dua dari kanan) bersama anak-anaknya.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Menemui beg pakaian yang mengandungi baju suami bercampur dengan pakaian wanita lain antara yang didedahkan ibu kepada penyanyi popular, Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman, 55, selepas berpisah dengan suaminya yang juga penyanyi dan pelakon era 1980-an, ND Lala.

Fauziah yang mengesahkan ND Lala sudah melafazkan cerai terhadapnya pada 2 Ogos lalu dalam satu hantaran di Instagram hari ini, turut mendedahkan ND Lala pernah tidak pulang ke rumah selama hampir setahun.

Malah, ketika rumah mereka dilanda banjir teruk pada Disember 2021, ND Lala juga tidak pulang.

Menerusi perkongsiannya, Fauziah menjelaskan, bukan mudah untuk dia menerima kenyataan seorang wanita sebaya Shila yang juga rakan baik anaknya itu dari tingkatan satu hingga lima di sekolah yang sama dikatakan sudah berkahwin dengan suaminya.

"Saya pernah berada di fasa penafian kerana dia sudah saya anggap seperti anak sendiri, makan, minum dan tidur di rumah keluarga kami. Apa saja acara kecil atau besar yang kami adakan di mana-mana dia pasti ada," katanya.

Fauziah berkata, pada 2019, Shila memberitahu ada orang menyampaikan kepadanya yang bapanya sudah bernikah dengan wanita itu, tetapi dalam hati dia masih menafikannya.

Menurut Fauziah, beberapa hari selepas itu dia bertemu dan bertanya sendiri kepada wanita itu, tetapi dia menafikannya kerana sudah menganggap Fauziah dan ND Lala seperti 'orang tuanya'.

Awal tahun ini, Fauziah pernah mendedahkan wajah wanita itu dengan keterangan gambar ditulis 'penyondol' di Instagram.

Fauziah berkata, dia yang berkahwin dengan ND Lala sejak berusia 21 tahun pada 19 Oktober 1989 sudah cuba menjadi isteri terbaik buat suami dan ibu buat empat anak mereka.

Menurutnya, perkongsian ini dibuat selepas dia berjaya memujuk hati dan mengutip kekuatan hasil sokongan mereka yang sentiasa berada di sisinya.

"Alhamdulillah, tiada lagi air mata, tiada lagi rasa menyalahkan diri sendiri. Sedikit rasa sebagai seorang wanita, yang pernah menjadi isteri, rasa jiwa seorang ibu, ingin saya kongsikan supaya dapat menjadi pengajaran buat semua," katanya.

Fauziah menyangka keadaan akan berubah normal tetapi berkat doa, kebenaran yang cuba ND Lala sembunyikan akhirnya terkeluar satu-persatu dan paling mengejutkan penipuan ini sudah berlaku bertahun-tahun.

Fauziah berkata, dia berkongsi coretan itu supaya wanita lain lebih berhati-hati dengan sesiapa yang mungkin mereka anggap sebagai kakak, adik, anak atau sahabat.

Dia juga menasihatkan jangan memberi ruang terlalu luas kepada mereka dan jika mahu bersangka baik pun perlu ada hadnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 3:03 PM