ROSLAN Madun. FOTO Hazreen Mohamad
ROSLAN Madun. FOTO Hazreen Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, Roslan Madun, 70, sebak serta menitiskan air mata apabila diminta mengulas kemelut membabitkan Datuk ND Lala dan bekas isterinya, Fauziah Sarman serta yang terbaru konflik membabitkan anak-anak mereka.

Penyanyi lagu-lagu rakyat yang popular dengan lagu Lemak Manis ini adalah rakan baik pasangan ini sejak dulu dan menyaksikan sendiri empat anak mereka membesar di depan mata.

"Anak-anak mereka dah macam anak saya, seperti keluarga saya, mereka membesar depan mata saya, saya tengok ketika mereka susah senang depan mata saya.

"Masih saya ingat, semasa kecil Shila Amzah banyak mengisi slot nyanyian jika penyanyi lambat sampai atau VIP hadir lambat. Dia yang bantu menceriakan pentas.

"Saya tak menyebelahi sesiapa kerana kedua-duanya rakan baik saya. Namun, saya berharap dan mendoakan agar konflik ini berakhir dengan baik," katanya

Roslan turut menasihatkan keluarga terbabit agar berbincang sesama sendiri untuk mencari penyelesaian dan tidak perlu menghebohkan di media sosial sehingga mengundang campur tangan netizen.

Terdahulu, Fauziah pernah mendedahkan Roslan dan pelakon, Zaidi Omar banyak membantunya menyelesaikan krisis rumah tangga dengan ND Lala.

Malah, mereka mengalirkan air mata kerana bersimpati dengan apa yang berlaku terutamanya apabila Fauziah menyatakan kesanggupan untuk bermadu bagi menyelamatkan rumah tangga dengan bekas suaminya.

Dalam perkembangan terbaru, konflik keluarga membabitkan Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada memuat naik hantaran mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Rentetan itu, Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung di Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berusia 28 tahun.

Penyanyi lagu Patah Seribu itu turut memperincikan keputusan menjual rumah miliknya serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana.

Fauziah kecewa dan mendakwa Shila sudah mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya kerana isu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 11:01 AM