MK dan Ezzanie teraju utama drama bersiri I Love You, Stupid.
MK dan Ezzanie teraju utama drama bersiri I Love You, Stupid.
Nurul Sabrina Jamali


Kolaborasi antara Rangkaian Televisyen Media Prima dengan Viu membawa berita baik kepada peminat drama Melayu.

Drama bersiri I Love You, Stupid lakonan MK K-Clique dan Ezzanie Jasny secara eksklusif ditayangkan di platform penstriman video Viu pada setiap Rabu hingga Sabtu bermula 12 Julai lalu. Drama ini juga disiarkan di TV3 akan datang.

Rangkaian Televisyen Media Prima dan Viu meneruskan kolaborasi menyajikan drama popular selepas kejayaan Kampung Kolestrol, Perisik Cinta Tak Diundang, Budak Intern dan banyak lagi.

Selaras dengan misi Viu yang sentiasa menawarkan kandungan baharu dan membuka langkah kepada drama tempatan untuk ditayangkan di serata dunia, kolaborasi ini juga memberi peluang kepada peminat drama Melayu untuk menonton semua episod I Love You, Stupid secara eksklusif sebelum siaran di TV.

Drama yang diadaptasi daripada novel karya Melur Jelita turut menampilkan Haidar Hasanudin, Fauzi Nawawi, Marisa Yasmin dan Lisdawati.

Diterbitkan Global Station Sdn Bhd yang disiarkan sebanyak 40 episod mengisahkan mengenai Iris Nur lakonan Ezzanie Jasny, wanita muda yang mula bersengketa dengan Inspektor Ebrahim (MK K-Clique) apabila cubaan dia untuk melepaskan diri daripada saman memandu secara berbahaya gagal.

Iris tidak menyangka bahawa dia bertemu kembali dengan Inspektor Ebrahim seorang yang tegas dan berdisiplin yang dilantik sebagai Pegawai Penyelarasan Kor Suksis di universitinya.

Walaupun tugasan diberikan Inspektor Ebrahim sangat mencabar, Iris cuba sedaya upaya membuktikan kemampuannya. Inspektor Ebrahim kagum dengan semangat Iris di sebalik perwatakannya yang 'diva'.

Pelbagai insiden berlaku antara Iris dan Inspektor Ebrahim sehingga berlaku kejadian Iris memfitnah Inspektor Ebrahim atas tuduhan mencabul.

Kemudian, Iris terputus hubungan dengan Inspektor Ebrahim selepas tamat majlis penyampaian sijil Kor Suksis. Iris mahu membuka lembaran baharu dengan menyertai misi kemanusiaan di Ijora. Tanpa disedari orang lain, Iris sebenarnya mempunyai misi lain.

Iris juga tidak menyangka hidupnya bakal bertukar selepas bertemu Firman di situ. Firman diupah oleh ayah Iris sebagai pengawal peribadi Iris. Siapa sebenarnya Firman dan apakah yang bakal berlaku antara mereka berdua?

Saksikan I Love You, Stupid di Viu dan nantikan episod baharu pada setiap hari Rabu hingga Sabtu jam 12 tengah hari menerusi web viu.com atau aplikasi Viu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:55 AM