BUKTIKAN pempengaruh juga ada bakat besar sebagai pelakon jika diberi peluang.
BUKTIKAN pempengaruh juga ada bakat besar sebagai pelakon jika diberi peluang.
Ridzuan Abdul Rahman


BAKAT baru bidang lakonan, Nur Ezzanie Sherazade Jasny atau Ezzanie Jasny, 24, bersyukur dengan pencapaian yang diraih kini menerusi drama Layang-Layang Perkahwinan yang membariskan pelakon hebat seperti Shukri Yahya, Keith Foo dan Alya Iman.

Mengakui peluang diperoleh itu sebagai rezeki bermakna buat dirinya, Ezzanie juga enggan berasa dirinya kerdil atau bakat dimiliki masih belum layak beraksi sebaris dengan pelakon lain yang lebih dikenali penonton.

"Saya sendiri sebenarnya tak pernah terfikir boleh sampai ke tahap ini. Mungkin juga sudah rezeki saya sebagai Saida Amanda dalam Layang-Layang Perkahwinan. Namun, ini bukan kali pertama saya digandingkan dengan Shukri.

"Ia kali kedua dan alhamdulillah Shukri seorang yang senang untuk bekerjasama sebab dia bukan seorang yang 'reserve'. Dia sangat baik dan tidak lokek berkongsi ilmu dalam bidang lakonan apabila ditanya.

"Bukan itu saja, pelakon-pelakon lain dalam drama ini semuanya baik-baik dan sekepala. Rasa sangat selesa untuk datang ke set bekerja. Semuanya hebat-hebat belaka dan saya bersyukur dapat bergandingan dengan mereka

"Bila berjumpa dengan artis-artis yang lebih lama bekerja dalam dunia lakonan ini memang seronok, sebab saya boleh ambil pengalaman mereka sebagai ilmu," katanya.

Ezzanie yang menceburi lakonan sejak 2019 mengakui, dia mahu meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan dengan membawa pelbagai watak berbeza.

"Penonton kenal atau pun tidak, itu tidak menjadi keutamaan kerana saya lebih selesa dikenali dengan karya saya dan bukan kerana kontroversi atau cerita bukan-bukan.

"Alhamdulillah, setakat ini semuanya positif (maklum balas diterima). Bahkan, saya ambil semua komen daripada mereka (penonton) sebagai semangat untuk saya terus buat yang lebih baik.

EZZANIE bersyukur penerimaan peminat terhadap lakonannya amat baik.
EZZANIE bersyukur penerimaan peminat terhadap lakonannya amat baik.

"Saya masih berada di fasa yang mana saya mahukan lebih banyak pengalaman untuk menambahbaik mutu lakonan saya,

"Bagi saya, pencapaian seseorang pelakon itu bukan terletak hanya pada populariti semata-mata tapi bagaimana dia membawa diri sebagai anak seni dalam bidang ini.

"Tidak lupa saya juga amat berterima kasih kepada pengarah, Eyra Rahman yang beri peluang dan kepercayaan serta daripada hasil didikan dialah, saya berada di tahap ini pada hari ini," jelasnya.

Seakan lumrah apabila sesebuah drama sudah popular dikalangan penonton, antara pelakonnya juga akan menerima tempias populariti itu.

Ezzanie turut tidak terlepas daripada fenomena ini. Ia mula dirasai sejak kemunculannya menerusi drama I Love You, Stupid yang ditayangkan kepada penonton sebelum ini.

"Pada mulanya agak kekok juga, tapi lama-kelamaan saya mula membiasakan diri. Terutama, apabila ada peminat yang sudah mula tegur dan mengajak bergambar bersama.

"Secara jujurnya saya tak pernah terfikir yang diri akan masuk menceburi lakonan. Itu bukan minat pertama saya, kerana cita-cita saya hanya ingin menjadi seorang 'entrepreneur' yang berjaya disebabkan minat berniaga dari usia muda," katanya.

Ezzanie juga tidak terkecuali berdepan kata-kata sinis berhubung kehadirannya dalam bidang seni, apabila didakwa cuma bersandarkan wajah serta status sebagai pempengaruh dan bukan kerana bakat.

"Bagi saya perkara itu subjektif dan penonton bebas untuk memberikan pendapat masing-masing. Di era ini, tak dinafikan memang ramai influencer (pempengaruh) diberi peluang untuk menjadi seorang pelakon dan selebriti media sosial.

"Cuma, bagi saya yang membezakannya adalah bagaimana peluang itu digunakan sebaik mungkin dan bukan hanya untuk mengejar populariti semata mata.

"Dan ternyata saya menggunakan peluang yang diberi untuk membuktikan kepada pengarah dan penerbit bahawa saya akan membuat yang terbaik dalam setiap karya yang dibintangi atas nama minat dan cinta dalam bidang seni ini," katanya.

GEMBIRA dapat menimba ilmu dengan barisan pelakon berpengalaman yang banyak membantu.
GEMBIRA dapat menimba ilmu dengan barisan pelakon berpengalaman yang banyak membantu.

Mengulas lanjut berkenaan watak Saida Amanda, Ezzanie berkata, karakter ini adalah seorang isteri dan ibu yang dikatakan sempurna, tahu apa yang diinginkan dan menginginkan rumah tangga yang bahagia.

"Ini bukan kali pertama saya bawakan karekter protagonis (baik), cuma yang membezakan drama ini dan sebelumnya adalah, buat pertama kalinya saya bawa watak agak berat kerana saya harus menjadi seorang isteri dan ibu.

"Syukur Alhamdulillah, daripada komen penonton, semuanya berpuas hati. Ada yang kata, walaupun usia saya muda tapi sudah berjaya bawa watak seorang isteri dan ibu dengan baik. Mereka ucapkan tahniah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 7:00 AM