Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain (kanan) dan Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn. Bhd, Daryl Foong menunjukkan ikan bandaraya pada program memburu ikan asing bersama komuniti di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain (kanan) dan Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn. Bhd, Daryl Foong menunjukkan ikan bandaraya pada program memburu ikan asing bersama komuniti di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perairan darat di beberapa kawasan di Lembah Klang boleh dianggap 'kritikal' apabila 'ditakluki' ikan asing terutama ikan bandaraya hingga menjejaskan sumber ikan asli.

Difahamkan, kira-kira 80 peratus sungai di ibu negara berdepan 'serangan' spesis ikan asing yang sudah mendominasi perairan darat di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata, selain Lembah Klang antara negeri lain yang turut dikesan mempunyai populasi ikan asing ialah sungai di Perak dan Pahang yang berdepan ancaman ikan baung ekor merah.

Bagaimanapun katanya, keadaan di negeri lain lebih terkawal dan tidak terjejas terlalu serius berbanding di Lembah Klang terutama di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil, di sini.

"Sungai Perak dimaklumkan ada ikan baung ekor merah, beberapa kawasan di Sungai Pahang ada baung ekor merah, di beberapa kawasan di perairan umum seperti bekas lombong dan tasik mempunyai 'peacock bass' namun masih terkawal.

"Ia tidak sampai ke tahap kritikal seperti di Sungai Kuyoh (dan lokasi berkenaan) masih ada ikan asli. Sungai Kuyoh kita tak nampak ikan asli, adalah seekor dua ikan puyu, ikan keli bunga kita dapat, tetapi kebanyakannya ikan asing.

"Ini nisbah yang tidak seimbang dan tidak baik untuk ekosistem perairan negara," katanya ketika ditemui pada program memburu ikan asing di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Program berkenaan membabitkan penyertaan 200 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, kelab komuniti pemburu ikan bandaraya, penduduk setempat serta institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Adnan berkata, hasil inventori pada tahun lalu di enam sungai di Lembah Klang iaitu Sungai Batu, Sungai Gombak, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Klang dan Sungai Kuyoh mendapati spesies ikan tilapia adalah paling banyak ditemui selain ikan bandaraya dan keli Afrika.

Katanya, konservasi sudah dilakukan pada tahun sama dengan pelepasan sebanyak 80,000 ribu ekor benih termasuk induk ikan tempatan iaitu ikan lampam sungai, terbul dan baung bagi tujuan menambah stok ikan di kawasan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sentiasa komited menyelesaikan isu berkenaan termasuk menjalankan kempen membasmi ikan asing melalui program memburu spesis itu bagi mengurangkan populasinya di perairan darat negara.

"Hari ini kita bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memburu ikan bandaraya di Sungai Kuyoh yang dalam masa hanya dua jam saja peserta sudah berjaya mengumpulkan 600 pelbagai spesis ikan seperti tilapia hitam, ikan bandaraya, keli Afrika, lampam jawa dan ikan jaguar.

"Boleh dikatakan spesis yang diperolehi adalah 99 peratus ikan asing dengan menyasarkan tangkapan sehingga lebih 1,000 ikan asing," katanya.

Katanya, program itu juga dilakukan di lokasi lain iaitu di Skudai, Johor dan pihaknya juga akan menganjurkan program sama di Sungai Langat pada Jun ini.

"Ini antara usaha mengekang populasi spesies ikan asing invasif daripada terus membanjiri perairan umum hingga menjejaskan spesies ikan asli dalam ekosistem perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:26 PM