Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Teh Maimunah (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan AEON Co (M) Berhad, Naoya Okada (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran bank itu. - FOTO NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Teh Maimunah (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan AEON Co (M) Berhad, Naoya Okada (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran bank itu. - FOTO NSTP/Eizairi Shamsudin
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank), secara rasmi melancarkan perkhidmatan perbankan mereka kepada pengguna sekali gus menjadikannya sebagai bank digital Islam pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, pihaknya menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh Syariah yang selamat, ringkas dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia.

Katanya, untuk fasa pengenalan, AEON Bank menawarkan kemudahan untuk melakukan pemindahan dan penerimaan wang, simpanan, penawaran kad fizikal untuk pengeluaran wang dan pembayaran, selain turut menawarkan integrasi AEON Points.

"Kami bersyukur diberikan kepercayaan untuk membangunkan bank digital Islam sepenuhnya yang pertama Malaysia.

"Pelancaran AEON Bank adalah pencapaian yang sangat bermakna untuk Kumpulan AEON di Malaysia, khususnya selepas 40 tahun kewujudannya di negara ini.

"Matlamat kami ialah untuk menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh Syariah yang selamat, mudah dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan di atas sambutan positif yang amat menggalakkan setakat ini," katanya di majlis pelancaran AEON Bank di sini, hari ini.

Menurutnya, kini AEON Bank berada dalam fasa awal pelancaran dan akan terus memperkenalkan lebih banyak produk perbankan dan ciri aplikasi untuk pelanggan perbankan peribadi.

Beliau berkata, dari semasa ke semasa, pihaknya juga akan terus memperkembangkan produk dan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan termasuklah bagi usahawan perniagaan mikro.

Selain itu, Raja Teh berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 2.5 juta pelanggan AEON Group ketika ini akan menjadi pelanggan AEON Bank.

Eksklusif sepanjang tempoh kempen pelancaran (sehingga 31 Ogos 2024), pelanggan AEON Bank yang mengaktifkan akaun mereka layak menikmati bonus pendaftaran 3,000 mata ganjaran AEON dan tiga kali ganda mata ganjaraan AEON menerusi transaksi yang menggunakan Kad Debit-i AEON Bank x Visa, di samping kadar keuntungan 3.88 peratus setiap tahun.

Pelanggan yang mengaktifkan akaun mereka juga boleh terus mengakses Kad Debit-i AEON Bank x Visa maya mereka dan juga memohon Kad Debit-i fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:32 PM