LELAKI diberikan tips solekan ketika sesi dijalankan Shiseido Japan Co. pada 14 March lalu. FOTO Ihsan Shiseido Japan Co/Kyodo
LELAKI diberikan tips solekan ketika sesi dijalankan Shiseido Japan Co. pada 14 March lalu. FOTO Ihsan Shiseido Japan Co/Kyodo
Agensi

Nagoya: Semakin ramai lelaki Jepun menggunakan barangan mekap dan penjagaan kulit untuk meningkatkan imej, terutama dalam kalangan mereka berusia 40-an ke atas yang kini lebih peka mengenai penampilan di hadapan pelanggan.

Pasaran itu berkembang sebanyak 1.7 kali ganda dari tahun 2017 hingga 43.3 bilion yen pada tahun 2023, menurut firma penyelidikan pemasaran Jepun utama, Intage Inc.

Ini kerana lelaki lebih memberi tumpuan kepada penampilan ketika bermesyuarat menerusi panggilan video dan dalam talian yang menjadi lebih biasa semasa dan selepas wabak pandemik Covid-19.

Penggunaan mekap lebih diterima dalam kalangan beberapa lelaki muda Jepun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi trend ini menular kepada generasi yang lebih tua, dengan perbelanjaan untuk kosmetik meningkat sebanyak 1.5 kali ganda dalam kalangan lelaki berusia antara 40-an dan 50-an, kata firma itu.

Kyodonews melaporkan, pada November tahun lalu, Shiseido Japan Co. menampilkan pelakon Takashi Sorimachi, 50 tahun, dan isterinya serta pelakon Nanako Matsushima, 50 tahun, dalam iklan untuk jenama penjagaan kulit lelaki Shiseido Men.

Jualan jenama itu meningkat sekitar 60 peratus selepas iklan itu disiarkan dan hingga awal Mac, menarik perhatian lelaki dari pelbagai kumpulan umur, menurut syarikat itu.

Yuta Arai, yang terbabit dalam strategi jualan pengeluar minuman di bawah Asahi Group Holdings Inc., mengambil bahagian dalam ceramah solekan oleh Shiseido pada Mac menggunakan pensil kening dan mata untuk pertama kalinya.

"Saya ingin mencubanya kerana mahu memotivasikan diri bagi tujuan perniagaan," kata Arai, 28.

Pada 2022, sebuah firma kecergasan di bawah Suntory Holdings Ltd. mula menjual produk penjagaan kulit Varon seperti toner dan pelembap, dengan sasaran pelanggan lelaki berusia 40-an ke atas.

Jualan kumulatifnya dalam dua tahun melebihi 4 bilion yen, jauh melebihi jangkaan awal, menurut Suntory Wellness Ltd.

Disebabkan kira-kira 70 peratus lelaki separuh baya atau lebih tua belum menjaga kulit, pasarannya sangat besar, kata seorang pegawai syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:52 PM