Aiman Athirah.
Aiman Athirah.
Asrol Awang

Kuantan: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pembuangan beras, sardin dan tepung di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh pada 18 April lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, beliau difahamkan, kes itu sudah diserahkan ke Bahagian Undang-Undang KPKT untuk dinilai keseluruhannya.

Dalam kes terbabit, katanya, kementerian itu mahu memastikan segala tindakan yang dilaksanakan lengkap dan jika berlaku kesalahan, mereka yang terbabit dalam kes itu tidak akan terlepas.

"Selepas Bahagian Undang-Undang KPKT, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya kerana kuasa pendakwaan berada di bawah Peguam Negara.

"Semua siasatan sudah selesai lengkap dan keterangan sudah diambil membabitkan antara tujuh dan sembilan individu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti PPR @ Program Perumahan Rakyat Disewa Pinggiran Putra di sini, hari ini.

Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar puluhan kampit, beras tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.

Difahamkan, gambar itu mula tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial Facebook dan TikTok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Ia menyebabkan netizen memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengenai kejadian itu.

Berdasarkan gambar tular, ada pihak mengambil tindakan membakar barangan terbabit.

Susulan kes itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mengaku bertanggungjawab dan sangat menyesali perkara itu.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata, KPKT komited untuk meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 menjelang 2025 selain terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi kitaran.

"Justeru, amalan kitar semula 3R (reduce, reuse dan recycle) penting untuk meningkatkan kadar kitar semula dan perlu diamalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama yang membabitkan komuniti sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 3:10 PM