MICHAEL Tong Wai Siong bersama anak angkat, Rafei Ahmad Fauzi (dari kiri), Rahman Ahmad Fauzi, Rasyid Amad Fauzi dan cucu angkat, Rayyan Aisy Rafei. FOTO Effendy Rashid
MICHAEL Tong Wai Siong bersama anak angkat, Rafei Ahmad Fauzi (dari kiri), Rahman Ahmad Fauzi, Rasyid Amad Fauzi dan cucu angkat, Rayyan Aisy Rafei. FOTO Effendy Rashid
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Hubungan anak dengan bapa atau ibu angkat perlu dijaga walaupun berbeza agama dan individu itu juga layak dihormati dan disantuni kerana pengorbanan menjaga serta membesarkan seseorang anak dengan baik.

Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Ikhlas Rosele berkata, seorang individu Muslim yang dijaga ibu bapa angkat bukan Islam perlu menyantuni individu berkenaan selagi mana hubungan itu tidak menjejaskan keimanannya.

Menurutnya, merujuk kepada kisah Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike yang menjaga tiga beradik beragama Islam yatim piatu adalah sesuatu perkara dipuji dan ia menjadi contoh kepada hubungan antara bangsa, budaya dan agama.

"Begitu juga kalau kita menjaga anak angkat bukan Islam maka kita perlu menjaga mereka dengan kasih sayang. Kerana penjagaan kasih sayang kita akan mendapat kasih sayang.

"Sekiranya ayah angkat bulan Islam seperti Uncle Mike (yang menjaga anak angkat dengan baik) maka dia layak mendapat kasih sayang dan penghormatan serta khidmat anak kepada ayah walaupun dia bukan Islam.

"Ini dituntut kepada orang Islam apatah lagi anak kandung kepada ibu bapa bukan Islam, begitu juga anak angkat kepada ibu bapa bukan Islam kerana istilah anak kepada ibu bapa adalah nilai kasih sayang, penghargaan dan menghormati.

"Maka tidak kira dia anak kandung atau anak angkat maka perkara ini adalah sama," katanya kepada Harian Metro ketika mengulas kisah Michael, lelaki Tionghua yang menjaga Rafei Ahmad Fauzi dan dua adiknya, Rasyid dan Abdul Rahman tanpa menjejaskan pendidikan agama tiga anak angkatnya.

Beliau berkata, kisah mereka juga boleh merujuk konsep fiq al-ta'ayush iaitu kewujudan bersama antara orang Islam dan bukan Islam dengan keadaan selamat dan sejahtera dengan syarat serta kriteria tertentu.

"Terdapat beberapa prinsip dalam fiqh antaranya mesti menjaga nilai keimanan maka selagi mana hubungan kita tidak menjejaskan nilai keimanan maka itu adalah hubungan yang tidak ditegah dalam Islam.

"Kemudian tidak berlaku perkara kemungkaran (seperti contoh) antara keluarga angkat Islam dan bukan Islam daripada sudut penjagaan aurat, pemakanan dan minuman (status halal) dan penjagaan solat.

"Selagi hubungan kita dengan orang bukan Islam tidak mendatangkan mudarat dan kesan negatif seperti (hak) tidak dijaga, menyakitkan, didera dan sebagainya serta jika ia (tidak) berlaku, hubungan itu tiada masalah," katanya.

Katanya, Allah SWT mencipta manusia yang berbeza agama, budaya dan bangsa untuk saling mengenali dan berinteraksi supaya dapat bertoleransi dan orang Islam perlu memahami hubungan sesama manusia berbeza agama adalah hubungan yang dituntut oleh Allah.

"Di Malaysia pendekatan integrasi antara agama, budaya dan bangsa berlaku antara kaum sudah lama jadi mereka juga boleh memahami apa yang boleh dan tidak boleh dalam agama Islam jadi perkara ini memudahkan hubungan itu," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Ikhlas berkata, umat Islam digalakkan berbuat baik kepada orang bukan Islam dan orang bukan Islam juga diajar dalam agama mereka melakukan perkara sama kepada sesama manusia.

"Nilai kemanusiaan itu adalah nilai universal dan setiap orang mempunyainya. Islam meraikan nilai kemanusiaan jadi orang bukan Islam boleh beri sumbangan kepada orang Islam dan begitu juga sebaliknya. Jadi tiada halangan untuk kita menerima bantuan daripada orang bukan Islam.

"Malah, kita juga sebenarnya dituntut membantu orang bukan Islam. Untuk membantu tidak terikat dengan agama tetapi kita boleh membantu dengan kerelaan hati yang merentasi agama (selagi ia tidak melebihi batas agama).

"Dalam hadis, Nabi (Muhammad) SAW menyebut manusia yang terbaik iaitu memberi manfaat kepada manusia lain jadi nilai kemanusiaan dan tolong-menolong dituntut dalam agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:21 PM