Pesawah menunjukkan sawah yang rosak akibat masalah sistem perparitan yang tidak di selenggara menyebabkan sawah  ditergelami banjir dan tanaman padi rosak di Kampung Tok Pauh. FOTO WAN NABIL NASIR
Pesawah menunjukkan sawah yang rosak akibat masalah sistem perparitan yang tidak di selenggara menyebabkan sawah ditergelami banjir dan tanaman padi rosak di Kampung Tok Pauh. FOTO WAN NABIL NASIR
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Sungai yang tidak diselenggara mengundang masalah kepada kira-kira 20 pesawah di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh di sini yang mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit setiap musim berikutan lebih 30 hektar sawah digenangi air.

Keadaan sungai yang menjadi semakin cetek dan dipenuhi kangkung sehingga saluran air terganggu dan bertakung.

Pesawah, Abdul Hamid Ghafar, 45, keadaan itu berlarutan sejak lima tahun lalu biarpun berpuluh aduan dibuat kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, proses menabur benih jadi sia-sia apabila air tidak dapat disalur keluar dari sawah dan terpaksa dilakukan sehingga dua kali semusim.

"Apabila musim hujan, air bertakung sedangkan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) minta kami ikut jadual tanaman, tapi macam mana nak ikut kalau air masih bertakung.

"Begitu juga pada musim panas, air tak boleh masuk ke dalam sawah menyebabkan proses tumbesaran padi terbantut, setiap kali musim tanam padi kami akan rugi RM1,000 bagi setiap 0.3 hektar atau serelung sawah yang kami usahakan," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Ali, Mukim Bukit Raya di sini, hari ini.

Pesawah Ahmad Puzi Bahari, 62, berkata kali terakhir sungai di kawasan kampung itu diselenggara ialah tujuh tahun lalu namun ia kembali cetek.

Katanya, pesawah di dua kampung berkenaan pernah mengumpul RM50 seorang untuk menyewa jengkaut bagi membuang kangkung di sungai itu, namun tidak menyelesaikan masalah.

"Sungai ini perlu didalamkan tapi kosnya terlalu tinggi, kami tak mampu nak sewa jengkaut untuk tempoh yang lama, lagi pun setiap kali musim padi, kami hanya balik modal dan ada yang rugi tambahan pula terpaksa bayar hutang kepada tauke padi dan MADA (beli benih).

"Aduan demi aduan dibuat termasuk dalam mesyuarat unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tapi belum ada tindakan sewajarnya, kami bukan mahu mencari salah pihak lain tapi bantu lah kami yang terpaksa menanggung kerugian setiap musim sejak lima tahun lalu," katanya yang lebih 40 tahun mengusahakan sawah.

Seorang lagi pesawah, Rosli Ahmad, 52, berkata keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menyewa jentera membajak dan membeli benih sebanyak dua kali.

"Sepatutnya kami sudah mula menabur tapi sekarang terpaksa tangguh dulu, saya pula perlu bayar sewa kepada pemilik setiap musim.

"Jika MADA tidak mengambil tindakan kami tak tahu bila kami boleh mula menabur benih, saya harap MADA mendengar aduan kami menerusi pihak media dan mereka ambil tindakan untuk bersih dan dalamkan sungai dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:42 PM