TERUJA pertama kali menjadi hero utama siri untuk slot Akasia.
TERUJA pertama kali menjadi hero utama siri untuk slot Akasia.
Georgie Joseph


LEBIH sedekad dalam industri hiburan, nama pelakon Fadlan Hazim, 30, memang tidak pernah sepi.

Kerjaya lakonannya tidak pernah putus walaupun tidak selalu ditampilkan sebagai watak utama.

Fadlan mengakui watak hero yang romantik sememangnya jarang diperoleh.

Bukan tidak pernah menjayakannya, tapi beberapa tahun kebelakangan ini dia asyik laku untuk watak antagonis atau jahat.

Justeru, dia cukup teruja apabila buat pertama kalinya menjadi hero untuk drama bersiri Sayang Tak Dikenang di slot Akasia TV3.

Dia berharap lakonannya dalam drama arahan Feroz Kader itu hidup dan menjadi.

"Ketika mula berlakon, memang pernah jayakan watak hero terutama yang romantik. Namun, corak tawaran berubah sekitar 2016 dan lebih kepada antagonis.

"Sejak itu, saya lebih banyak mendapat watak ganas, samseng dan seumpamanya. Ia membuatkan saya sebati dengan tawaran itu dan agak terkejut juga apabila Feroz tawarkan watak hero romantik pula," katanya.

Fadlan mengakui dia sebenarnya tidak sangka diberikan kepercayaan itu apatah lagi untuk slot Akasia. Dia sendiri pun baharu habis penggambaran watak antagonis dengan produksi Feroz.

Jadi, dia agak kekok juga di awal penggambaran kerana perlu mengembalikan semula ciri romantiknya.

FADLAN mengaku kekok selepas sekian lama sering bawakan watak antagonis.
FADLAN mengaku kekok selepas sekian lama sering bawakan watak antagonis.

Namun, dia bersyukur apabila mendapat tunjuk ajar sepanjang tempoh itu.

"Beberapa hari pertama, saya sebenarnya masih terbawa-bawa corak lakonan sebelum ini yang agak kasar. Namun, pengarah serta pelakon lain banyak membantu untuk saya ubah cara itu.

"Mana tidak, sisi romantik saya pun sudah 'berkarat' dan agak mencabar sebenarnya nak jayakan watak itu. Bagaimanapun, syukur saya dapat juga mendapat rentaknya dan semoga menjadilah watak saya itu dengan baik," katanya.

Cukup terbiasa dengan watak antagonis selama beberapa tahun ini, Fadlan tidak nafikan lakonannya sebagai Raqib Tafzani Raif memang mencabar. Kesukaran itu lebih terasa untuk mendapat momentum seawal penggambaran.

Watak berkenaan memerlukan dia untuk mampu menukar karakternya. Ini kerana, dia bukan saja perlu menjadi romantik bahkan perlu bijak bersikap licik dalam menangani pelbagai situasi.

"Oleh kerana watak itu ada misi balas dendam, saya kena pastikan cara mengendali setiap wanita dalam drama terbabit berbeza. Saya boleh menjadi kaki perempuan dan miang.

"Selain itu, saya juga perlu hidupkan watak yang pandai manis berkata-kata dan penyayang. Nanti boleh tengoklah sepanjang cerita itu, adalah pergolakan tertentu yang berlaku terhadap watak saya," katanya.

FADLAN akui kemahiran bawakan watak romantik agak ‘berkarat’.
FADLAN akui kemahiran bawakan watak romantik agak ‘berkarat’.

Digandingkan dengan Ruhainies dan pelakon baharu Ezzanie Jasny, Fadlan seronok keserasian mereka cukup menjadi terutama dengan Ezzanie kerana itu pertama kali mereka berlakon sama.

"Kalau dengan Ruhainies, saya memang sudah biasa dan pernah berlakon pun dengannya. Kami pun boleh bergurau-senda di set namun cukup serius sebaik penggambaran bermula.

"Saya sedikit risau dengan Ezzanie kerana takut dia fikirkan saya seorang yang agak berlagak. Tapi sebenarnya dengan dia pun mudah nak mesra dan Ezzanie cukup menyenangkan," katanya.

Berkongsi mengenai wataknya sebagai Raqib Tafzani, baginya watak itu cukup menarik dan cukup berbeza buatnya. Ini kerana dia perlu pelbagaikan mood lakonan serta karakter berubah-ubah.

"Misi Raqib adalah untuk menundukkan dua wanita demi membalas dendam untuk adiknya. Saya perlu bijak ubah corak karakter apabila mendekati kedua watak wanita berkenaan," katanya.

GANDINGAN bersama Ruhainies, Ezzanie Jasny banyak membantu dalam Sayang Tak Dikenang.
GANDINGAN bersama Ruhainies, Ezzanie Jasny banyak membantu dalam Sayang Tak Dikenang.

Drama bersiri 28 episod itu diterbitkan FJ Pictures, skrip oleh Shida Zali, Amin Shakib dan Mia Marziah. Selain Fadlan, Ruhainies dan Ezzanie, turut berlakon ialah Syafnida Shuhaimi, Andy Teh, Riz Amin, Meor Mohd dan ramai lagi.

Sayang Tak Dikenang mula ditayangkan sejak 4 Mac lalu, setiap Isnin hingga Ahad, jam 7 malam menerusi slot Akasia di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:30 AM