Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Sarawak, Datuk Abdullah Saidol, pada Majlis Perasmian Persidangan Media Sarawak 2024 di Hotel Riverside Majestic Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Sarawak, Datuk Abdullah Saidol, pada Majlis Perasmian Persidangan Media Sarawak 2024 di Hotel Riverside Majestic Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kecerdasan buatan (AI) membawa cabaran hebat dalam evolusi dunia kewartawanan kerana ia akan menguji integriti laporan yang dihebahkan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, dengan penggunaan AI, banyak perkara yang tiada, boleh diadakan.

Justeru katanya, sukar untuk menilai laporan yang dibuat menggunakan AI itu asli atau sebaliknya.

"Kepesatan teknologi dengan penggunaan AI ini satu evolusi hebat dalam bidang kewartawanan apabila ia dimanfaatkan oleh mereka yang pakar dengan penggunaannya.

"Dengan AI, orang yang sudah meninggal dunia pun boleh dihidupkan semula menyebabkan kita tidak tahu dengan jelas, sama ada yang dipaparkan itu asli atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Justeru, Abang Johari berkata, wartawan yang bertanggungjawab harus mencari kaedah untuk mengelakkan penyebaran berita palsu susulan ledakan teknologi AI.

"Saya syorkan wartawan (menerusi persatuan masing-masing) yang mempunyai rasa tanggungjawab kepada kemakmuran bukan sahaja kepada negara tetapi juga seluruh pihak berkepentingan untuk menggariskan kod etika bersesuaian dalam penggunaan AI.

"Dengan AI, percakapan saya boleh diterjemah ke bahasa Mandarin atau Inggeris dengan gerakan bibir saya akan menepati dengan apa yang disebut dan inilah cabaran kita dalam media masa kini," katanya.

Abang Johari turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi yang julung kali membawa sambutan Hawana ke luar Semenanjung dan memilih Sarawak sebagai tuan rumah.

"Menerusi sambutan ini, kita dapat mengumpulkan wartawan daripada pelbagai organisasi untuk memikirkan hala tuju industri media berikutan transformasi yang begitu cepat berlaku ketika ini sehingga membawa cabaran dalam industri media," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:20 PM