Penyanyi MK K-Clique yang kini semakin mencipta nama dalam lakonan bersyukur apabila menerima pelbagai tawaran membintangi drama daripada beberapa produksi tempatan.
Terbaharu MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan diberikan tanggungjawab membintangi drama ILYS adaptasi novel karya Melur Jelita 'I Love You, Stupid' ditayangkan di TV3.
Menurut MK sekalipun masih pada proses belajar dalam bidang lakonan, namun dia masih sentiasa mahu mencabar diri untuk kelangsungan karier seninya.
"Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat menerima tawaran berlakon dalam drama ini. Bagi saya, saya bukan hebat dalam lakonan, tapi saya jenis orang yang suka ambil cabaran dan mencuba bidang baharu.
"Jadi, motif saya berlakon bukan saja-saja, sejak saya berlakon, percakapan bahasa Melayu 'Semenanjung' makin fasih.
"Malah, banyak juga orang komen yang saya ini muka garang macam mana boleh berlakon drama cinta kan. Kalau anda nak tahu sangat, jangan lupa saksikan drama ini sebab saya jamin insya-Allah anda tidak menyesal." katanya.
Drama ILYS ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam sejak 14 November lalu.
Drama 40 episod terbitan Global Station Sdn Bhd ini diarahkan Eyra Rahman dan penulisan skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim.
Lebih menarik, drama ini menampilkan gandingan serasi Ezzanie Jasny dan MK K-Clique di samping barisan pelakon berbakat lain seperti Haidar Hasanudin, Fauzi Nawawi, Marisa Yasmin, Lisdawati dan ramai lagi.
Ia mengisahkan Iris Nur lakonan Ezzanie Jasny, wanita 'diva' yang pernah bersengketa dengan Inspektor Ebrahim (MK K-Clique) apabila cubaan dia untuk melepaskan diri daripada saman memandu secara berbahaya gagal.
Iris tidak menyangka bahawa dia akan bertemu kembali dengan Inspektor Ebrahim yang dilantik sebagai Pegawai Penyelarasan Kor Suksis di universitinya.
Kemudian, Iris terputus hubungan dengan Inspektor Ebrahim selepas tamat majlis penyampaian sijil Kor Suksis.
Iris mahu membuka lembaran baharu dengan menyertai misi kemanusiaan di Ijora. Tanpa disedari orang lain, Iris sebenarnya mempunyai misi lain.
Iris juga tidak menyangka hidupnya bakal bertukar selepas bertemu Firman di situ. Firman diupah ayah Iris sebagai pengawal peribadi Iris. Siapa sebenarnya Firman dan apakah yang bakal berlaku antara mereka berdua?