Penyanyi, Anuar Zain ketika sidang media konsert Ulangtahun Anuar Zain yang ke 40 di JioSpace, Petaling Jaya. FOTO AZIAH AZMEE
Penyanyi, Anuar Zain ketika sidang media konsert Ulangtahun Anuar Zain yang ke 40 di JioSpace, Petaling Jaya. FOTO AZIAH AZMEE
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Menghargai dan meraikan peminat sempena 40 tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air, penyanyi Anuar Zain bakal tampil dalam konsert, Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Oktober ini.

Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 53, bakal menghibur peminat dengan untaian lebih 20 lagu. Sekali gus sebagai tanda terima kasih kepada peminat atas sokongan yang tidak pernah luntur sepanjang empat dekad.

"Sudah tentu saya menyasarkan kehadiran penuh pada konsert kali ini dan tujuan utamanya adalah untuk menghibur peminat dengan kesemua lagu yang akan dipersembahkan nanti.

"Bagaimanapun, buat masa ini, saya masih belum memikirkan mengenai penyanyi jemputan kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dari segi persiapan konsert.

"Boleh dikatakan, konsert kali ini hanya berterus-terang sahaja kerana saya tidak ada sebarang gimik atau elemen kejutan yang ingin ditampilkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas pemilihan lokasi konsert, Anuar berkata, Stadium Malawati di Shah Alam menyimpan pelbagai nostalgia manis buat dirinya, malah mempunyai kelengkapan sesuai untuk penganjuran konsert.

"Antara sebab saya memilih lokasi itu kerana Shah Alam adalah tempat saya tinggal dan membesar. Saya pernah mengadakan konsert di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, tetapi Stadium Malawati memberi saya nostalgia yang sangat manis. 

"Apatah lagi, lokasi itu sangat praktikal dan mempunyai struktur bangunan yang menepati perancangan. Malah, pencahayaan dan sistem bunyian yang dimiliki sangat baik," katanya. 

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini turut menjelaskan, beberapa visual yang memaparkan perjalanannya sepanjang 40 tahun sebagai anak seni.

"Serba sedikit visual mengenai perjalanan saya sepanjang 40 tahuh itu ada, tapi konsert kali ini lebih kepada menghibur peminat yang hadir, cuma penceritaan itu tetap ada.

"Sebelum ini saya pernah tampil dengan konsep sedemikian, jadi kali ini mungkin akan ada perubahan sedikit," katanya.

Tiket konsert akan mula dijual pada 12 Julai jam 10 pagi dengan harga RM188 hingga RM1188

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:34 PM