ZIANA rancang konsert tahun depan.
ZIANA rancang konsert tahun depan.
Najiy Jefri


Penantian 22 tahun penyanyi terkenal, Ziana Zain untuk mengadakan konsert solo berskala besar akhirnya tercapai menerusi Ziana Zain Konsert 2024 yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Mei tahun depan.

Tarikh konsert yang jatuh pada bulan ulang tahun kelahirannya turut memberi erti yang cukup bahagia kepada pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu untuk menghiburkan peminat.

Kata Ziana, selepas 22 tahun menanti, dia tidak sabar bertemu peminat yang sentiasa tertunggu-tunggu bila konsert solonya bakal menjadi kenyataan.

"Perancangan untuk mengadakan konsert solo ini mula dibincangkan selepas kejayaan konsert bersama Anuar Zain di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tahun lalu.

"Apabila buat konsert itu, rasa seronok pula. Namun, selepas itu buntu tidak tahu nak buat apa.

"Alhamdulillah, saya dapat tawaran dari Anuar Zain Network. Saya fikir, mengapa tidak cuba. Selepas itu, ada tawaran besar datang. Namun, saya terpaksa tolak sebab sudah berjanji dengan Anuar.

"Saya sangat bersyukur saya dapat pentaskan konsert ini dengan individu yang hebat seperti Anuar. Kita tahu bagaimana cara Anuar bekerja, begitu juga dengan Jennifer Thompson dan Aubrey Suwito yang terbabit sama," katanya.

Tambah Ziana, konsert terbabit bakal menjadi satu kenangan yang cukup indah buat peminat termasuk dirinya apabila dia bakal menceritakan perjuangan seninya pada konsert itu.

"Karier nyanyian ini tiada tarikh luput. Satu hari tak menyanyi rasa tak senang duduk dibuatnya.

"Bagi saya, menyanyi ini umpama 'tonik' yang menguatkan saya untuk terus melangkah ke depan.

"Saya harap konsert ini memberi memori manis kepada semua. Saya juga mahu tunjukkan apa yang saya boleh lakukan pada usia ini.

"Setiap konsert dipentaskan mesti ada keistimewaan dan boleh menjadi rujukan pada masa akan datang. Sebab itu, saya sangat berhati-hati dalam mementaskan konsert," katanya.

Kata Ziana, konsert yang bakal diadakan turut melambangkan perjuangannya dalam dunia seni sepanjang 33 tahun.

Pada Ziana Zain Konsert 2024, Ziana dijangka mendendangkan hingga 30 lagu popular sepanjang hampir tiga jam.

Ziana Zain Konsert 2024 mendapat sentuhan Aubrey sebagai pengarah muzik bersama 16 pemuzik profesional, manakala Jennifer pula bertindak sebagai pengarah konsert.

Kali terakhir penyanyi Puncak Kasih ini mementaskan konsert solo adalah pada Ziana Zain In The Park di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 2001.

Tahun 2024 bakal mencipta pelbagai kenangan manis buat Ziana apabila turut bakal beraksi di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) pada 3 Mac tahun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Tahun ini saya hasilkan single Waktu dan bakal bersaing di AJL 38 tahun depan. "Jadi, nak selesaikan satu demi satu kerja dulu.

"Saya yakin 2024 adalah tahun terbaik untuk saya mengadakan konsert. Apatah lagi, saya tengok ramai betul penyanyi buat konsert tahun ini.

"Jadi, saya pilih tahun depan untuk beri ruang kepada peminat kumpul duit berhibur bersama saya pada malam itu. Saya juga kena buat perancangan yang betul sebab sudah lama tidak pentaskan konsert," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 6:00 AM