200 peminat terawal berpeluang bergambar dengan Ziana.
200 peminat terawal berpeluang bergambar dengan Ziana.
Georgie Joseph


BAGI menyemarakkan lagi konsertnya pada 25 Mei depan, penyanyi tersohor, Ziana Zain bakal mengadakan sesi istimewa khusus buat peminat tercinta pada 21 April ini.

Bertempat di Sungei Wang Plaza acara bermula jam 3 petang itu dinamakan Sesi Autograf Konsert Ziana Zain 2024 yang dibawakan CSA Academy.

Semestinya ia peluang cukup bermakna besar sebagai acara prakonsert terutama buat peminat yang sudah membeli tiket. Ia juga menjadi peluang keemasan bertemu dekat penyanyi Madah Berhelah itu.

"Kami mengalu-alukan kehadiran peminat yang sudah membeli tiket Konsert Ziana Zain 2024 untuk beramah mesra. Sekali gus mendapatkan tandatangan eksklusif daripada idola mereka di lokasi dan tarikh ditetapkan.

"Dengan penganjuran acara seperti ini diharapkan menambah keghairahan dan keterujaan buat peminat untuk hadir ke konsert itu pada 25 Mei nanti," demikian makluman penganjur.

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki cakera padat, poster mahupun majalah sebagai koleksi peribadi.

Sekalipun zaman berubah, ada satu tradisi yang mengeratkan silaturahim secara semula jadi antara artis dengan peminat.

Tidak lain iaitu sesi ramah mesra dan mendapatkan tandatangan secara eksklusif daripada sang idola.

Justeru, penganjur konsert iaitu Anuar Zain Network dan Ziana Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse berbesar hati menganjurkan sesi bertemu dan tandatangan eksklusif terbabit.

Ia adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat menjelang konsert itu yang berlangsung tidak lama lagi.

Untuk menyertainya, ada beberapa cara dan syarat boleh diikuti peminat. Ia adalah berdasarkan siapa cepat, dia dapat dan sesi fotografi hanya terhad kepada 200 yang terawal.

Pertama, peminat perlu menebus poster atau kad foto yang disediakan di kaunter di lokasi acara nanti. Sesi menebus poster bermula pada jam 12 tengah hari.

Seramai 200 peminat terawal berpeluang bergambar dan mengambil tandatangan bersama Ziana Zain atas pentas.

Peminat yang hadir selepas itu masih boleh menebus poster yang sudah ditandatangan lebih awal di kaunter berdasarkan stok yang ada.

Konsert Ziana Zain 2024 akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Ziana meluahkan rasa teruja dan syukur apabila dapat merealisasikan impian itu selepas 22 tahun tidak mengadakan konsert solo.

Pementasannya nanti juga bakal mendapat sentuhan pengarah muzik, Aubrey Suwito serta 16 pemuzik profesional manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah konsert.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:46 AM