Anuar Zain
Anuar Zain
Ramlah Zainal

 

Shah Alam : "Saya menangis tengok keadaan mereka. Hati saya koyak rabak melihat penderitaan kanak-kanak di sana. Mereka tiada dunia untuk melihat dan ada doa sahaja," kata penyanyi popular, Anuar Zain ketika diminta mengulas jika ada pihak yang mempersoalkan penganjuran konsert solonya itu ketika rakyat Palestin menderita ketika ni.

Menurut Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 53, solidaritinya kepada saudara seagama terutama kepada kanak-kanak yang menderita di Palestin sangat kuat.

"Memang itu yang ada dalam fikiran saya sebelum menganjurkan konsert solo ini. Namun, saya percaya kita sudah menunjukkan kasih sayang dekat saudara kita di Palestin.

"Saya juga ada buat 'posting' (perkongsian) sedikit sebanyak di media sosial mengenai keadaan mereka di sana," katanya pada sidang media selepas Konsert meraikan ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam industri seni yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, kata Anuar, dia juga menyeru orang ramai untuk sama-sama menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin untuk mengurangkan penderitaan mereka.

"Kalau ada rezeki lebih boleh infak (sedekah) untuk mereka menerusi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Kita kena berdoa dan beri kasih sayang kepada  mereka melalui infak,"katanya.

Kata Anuar lagi, walaupun kita bergembira, hati kita tetap bersama saudara seagama kita di bumi Palestin.

"Kita beri sokongan kepada orang yang teraniaya dan semoga urusan mereka dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, konsert Anuar Zain berjaya memukau lebih 8,000 penonton yang membanjiri Stadium Malawati sejak jam 7 malam walaupun dalam keadaan hujan dan cuaca kurang baik.

Meskipun berdepan dengan kekangan suara yang serak kerana baru sahaja pulih dari masalah kehilangan suara, Anuar berjaya menghiburkan penonton dengan rangkaian 20 lagu popular serta mengimbas nostalgia bersama peminatnya.

Antara lagu hits yang disampaikan malam tadi ialah Sedetik Lebih, Keabadian Cinta, Bila Resah, Teman Terulung, Perpisahan dan Lelaki Ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 9:17 AM