BELLINGHAM (kiri) meraikan jaringannya bersama Kane. FOTO AFP
BELLINGHAM (kiri) meraikan jaringannya bersama Kane. FOTO AFP
AFP

Blankenhain: Penjaga gol England, Jordan Pickford, berterima kasih kepada 'dua bintang', Jude Bellingham dan Harry Kane kerana menyelamatkan Three Lions daripada kekalahan memalukan di peringkat 16 terakhir Euro 2024 di tangan Slovakia.

Skuad bimbingan Gareth Southgate hampir tersingkir apabila mereka ketinggalan 0-1 di Gelsenkirchen tengah malam tadi sebelum Bellingham melakukan tendangan akrobatik yang menakjubkan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-95.

Kurang dari satu minit ke masa tambahan, Kane kemudiannya menjaringkan gol antarabangsa ke-65nya untuk membawa England ke suku akhir bertemu Switzerland.

"Dua bintang, Jude dan Harry tampil dengan aksi hebat," kata Pickford kepada pemberita di kem latihan England di Jerman, hari ini.

"Jude sekali lagi menjadi pemain penting dengan tendangan akrobatik untuk memastikan kami terus berjuang dalam kejohanan ini. Kami tidak pernah mengalah dan itulah yang terjadi malam tadi," katanya lagi.

Walaupun mara sehingga ke peringkat lapan terakhir, prestasi England dikritik hebat.

Diletakkan sebagai antara pilihan utama kejohanan kali ini, mereka kelihatan letih dan kurang kreativiti dalam keempat-empat perlawanan setakat ini.

"Prestasi tidak menentu tetapi kami berjaya mengatasinya.

"Tidak kira bagaimana anda bermain, anda perlu menunjukkan ketahanan serta memenangi perlawanan dan itulah yang kami lakukan," kata Pickford.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 10:10 PM